Filem yang sedang meningkat naik carta box office dunia, Black Panther terbitan Marvel Studios punya kaitan dengan seni mempertahankan diri Nusantara iaitu silat.

Perkara ini didedahkan pelakon utamanya, Chadwick Boseman yang membawa watak adiwira T’Challa bahawa dia turut mempelajari beberapa seni bela diri termasuk silat bagi adegan pertarungan dalam filem tersebut.

Katanya kepada Straits Times pada Khamis, bagi memastikan keunikan adegan lawan di dalam filem berkenaan, pengarahnya, Ryan Coogler mahu beliau melakukan kajian ke atas seni bela diri seluruh dunia.

“Banyak perbincangan kami lakukan dalam menghasilkan koreografi menarik adegan lawan. Ia melibatkan gabungan gaya pertempuran seni bela Brazil, capoeira yang dihubungkan dengan bentuk seni Afrika iaitu Angola dan juga tinju Dambe serta gusti Senegal.

“Juga aksi pertempuran menggunakan kayu Zulu dan juga aksi mempertahankan diri Asia Tenggara seperti Muay Thai dan Silat Harimau bagi mereka satu identiti warisan fiksyen kaum Wakanda,” katanya kepada akhbar tersebut.

Boseman juga sebelum ini pernah memuat naik satu video di laman Instagramnya yang menyaksikan dia sedang berlatih satu adegan lawan yang kelihatan seperti silat.

Boseman, 40 akan kembali melakonkan watak T’Challa dalam filem Avengers: Infinity War yang bakal ditayangkan pada Mei depan.

Sumber: Astro Awani