Suami kepada aktres Izara Aishah, Adib Khalid memahami kerjaya isterinya sebagai seorang pelakon dan tidak meletakkan sebarang syarat biarpun setelah mendirikan rumah tangga.

“Tiada sayarat sangat pun. Bagi saya, kerjaya Izara masih seoerti biasa. Saya tidak cemburu jika dia bergandingan dengan pelakon lelaki lain dan tidak fikir apa-apa pun.

“Saya memang memahami kerjayanya secara keseluruhan. Saya juga tak kisah jika dia kekal aktif selepas berkahwin kerana saya sendiri turut sibuk dengan kerjaya.

“Kita berdua sama-sama sibuk mencari rezeki dan apa yang penting, apabila kami berdua balik ke rumah, kami ada ‘each other’ dan dapat menghabiskan waktu berdua setelah seharian bekerja,” kata Adib.

Tambah Izara pula, dia juga pelik kerana suaminya tidak cemburu apabila dia berlakon dengan lelaki lain dalam drama atau filem.

“Kadang-kadang saya pelik. Kenapa dia tak cemburu? Tetapi, mungkin dia juga telah didedahkan dengan keadaan dalam industri dan memahami apa yang saya lakukan hanya sekadar lakonan.

“Insya-Allah, saya bakal memasuki set penggambaran drama berjudul Jodoh-Jodoh Anisa yang bakal bersiaran selama 100 episod tidak lama lagi.

“Saya bakal bergandingan bersama lima orang hero iaitu Aaron Aziz, Amar Baharin, Awal Ashaari, Johan As’ari dan Hafreez Adam,” katanya ketika ditemui di sidang media program CTDK-ation.

Program tersebut memaparkan jurnal percutian keluarga besar Datuk Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Rancangan yang memaparkan kisah suka duka percutian keluarga besar itu ke Sepanyol, Portugal dan Dubai itu akan disiarkan di saluran Astro Ria pukul 9 malam bermula 29 Disember ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Adib