Pelakon Diana Danielle tidak kisah sekiranya ada pihak yang membandingkan drama adaptasi Coffee Prince Malaysia dengan versi asal dari Korea.

Malah menurut Diana, dia menerima komen-komen tersebut sebagai sesuatu yang positif untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

“Bagi saya itu sangat menyeronokkan dan saya tidak rasa perkara itu akan membuatkan saya rasa ‘insecure’.

“Saya akui peminat ‘Coffee Prince’ versi asal memang akan membuat perbandingan dan kita tidak dapat hentikan mereka daripada melakukan perkara itu.

“Tak kisah pun sebab saya memang mahukannya. Saya ambil itu sebagai satu langkah positif supaya dapat memperbaiki kelemahan yang ada dalam industri,” katanya.

Diana ditemui Astro Gempak di lokasi penggambaran MY Coffee Prince bertempat di Bros Cafe, Seremban.

[[BACA: MEMANG NAK NAMPAK MACAM GONG YOO UNTUK COFFEE PRINCE- FATTAH AMIN]]

Mengulas mengenai Coffee Prince, Diana memberitahu terdapat beberapa perubahan yang dilakukan dalam drama berkenaan agar sesuai untuk tontonan di Malaysia.

“Tak boleh nak janjikan drama ini 100 % sama dengan versi asal kerana perlu peka dengan sensitiviti di Malaysia.

“Jadi memang banyak penapisan yang telah dilakukan namun jangan khuatir kerana plot penceritaan tidak terlalu berlainan dengan yang asal.

“Sebagai contoh dalam versi Korea, watak saya itu tidak berkahwin namun sudah mempunyai anak.

“Jadi untuk versi Malaysia, situasi itu telah ditukar dan saya telah bekahwin dengan Fahrin barulah ada anak,” jelasnya.

Selain Diana, Coffee Prince turut dibintangi oleh Janna Nick, Fattah Amin dan Fahrin Ahmad.

Versi asal Coffee Prince dilakonkan oleh Gong Yoo, Yoon Eun Hye, Lee Sun Kyun dan Chae Jung An.

[[BACA: FAHRIN AHMAD TONTON COFFEE PRINCE KERANA HAN SUNG]]

Jangan lupa saksikan MY Coffee Prince arahan Michael Ang yang secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123), setiap Isnin – Khamis bermula jam 10 malam.

Terlepas menonton episod pertama MY Coffee Prince? Jangan risau, anda boleh saksikan drama tersebut menerusi On Demand. Hanya sambungkan PVR ke wifi rumah anda sekarang.

Foto: Instagram @dianadanielle

Teks oleh: Mya Amri