Pelakon Syatilla Melvin mahu memberikan fokus untuk membesarkan anaknya, Syeriv Samheizy yang dilahirkan pada 9 Mei lalu.

"Anak saya masih kecil dan saya mahu memberikan perhatian sepenuhnya di rumah untuk menjaga Syeriv.

"Buat masa ini, saya dan suami, Shaheizy Sam tiada pembantu rumah. Saya mengasuh Syeriv sendiri di rumah dan seronok menjalani proses itu. Jika ada hal yang tak dapat dielakkan, adik beradik saya akan membantu menjaga Syeriv," kata Syatilla.

Tambah pelakon drama bersiri Sha dan Shah ini, dia merindui dunia lakonan tetapi akan kembali menerima tawaran di masa akan datang.

"Tunggu Syeriv besar sedikit dulu, baru saya akan kembali fokus terhadap kerjaya lakonan. Saya memang rindu untuk bekerja seperti dahulu tetapi saya mahu memberikan keutamaan kepada anak sulung.

"Saya sempat membintangi drama bersiri Kerana Syurga Bukan Percuma yang sedang ditayangkan di Astro Oasis tetapi saya hanya menjayakan watak cameo sahaja. Penggambaran hanya memakan masa yang singkat dan kakak saya membantu menjaga Syeriv ketika itu," katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Pinjamkan Hatiku yang menggandingkan suaminya bersama Ayda Jebat.

Selain Sam dan Ayda, filem arahan Osman Ali ini turut menampilkan Farid Kamil, Lia Natalia, Norman Damanhuri, Azizah Mahzan dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan filem Pinjamkan Hatiku yang akan menemui penonton di pawagam bermula 30 November 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Syatilla