Ramai yang tertanya-tanya apabila pelakon baru Farah Nabilah muncul sebagai pengapit Izara Aishah ketika majlis pernikahannya baru-baru ini.

Tidak dapat dipastikan hubung kait Farah Nabilah dan Izara Aishah namun Astro Gempak sempat bertanyakan sendiri sejauh manakah keakraban kedua-dua pelakon cantik ini.

Kata Farah, 25, mereka sudah berkawan baik sejak kecil dan dia menjadi pendengar setia Izara sejak pelakon wanita itu terjun ke bidang seni sekitar tahun 2011.

"Kami berkawan dari kecil lagi namun mungkin orang tidak perasan hubungan akrab antara kami kerana masing-masing jarang memuat naik gambar kami di Instagram atau mana-mana media sosial.

"Tak semua kami kongsi dan saya melihat tindakan itu perlu untuk mengelakkan campur tangan orang luar dalam persahabatan kami.

"Saya menjadi pendengar setia Izara sejak dia menjadi artis dan banyak belajar daripadanya sehinggalah saya sendiri terjun ke bidang seni dua tahun lalu," katanya kepada Astro Gempak.

Farah yang popular menerusi drama bersiri Titian Cinta itu mengakui dia sering mendapatkan tunjuk ajar daripada Izara yang terlebih dahulu merasa sepak terajang dunia seni.

"Izara seorang pelakon yang pandai menjaga diri dan enggan mengambil pusing perkara yang boleh menjatuhkan diri dan kariernya.

"Malah, dia pun banyak menasihati saya kalau tidak saya sendiri bertanyakan pendapat dia.

"Bukanlah bermakna saya mahu menjadi Izara yang kedua tetapi saya suka cara dia menguruskan diri dan kerjaya sebagai seorang artis," jelas Farah lagi.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @farahnabilahofficial