Aktres Uqasha Senrose mengakui hairan apabila setiap perbuatannya sering dikecam netizen di media sosial.

Menurut Uqasha Senrose, 25, sejak melibatkan diri dalam industri hiburan, dirinya sering menjadi sasaran kritikan peminat.

"Apa sebenarnya salah saya kerana sering sahaja dikecam dan dihentam di media sosial.

"Saya juga hairan dengan tindakan sesetengah netizen yang tidak penat-penat mengecam dengan memuat naik komen-komen pedas di akaun media sosial saya.

"Boleh dikatakan dalam seribu komen yang diberikan netizen, hampir semuanya berbaur hentaman dan ada sesetengah itu mengaibkan saya.

"Sejujurnya saya tak tahu nak buat macam mana lagi kerana setiap perbuatan saya pasti dikecam dan ia seolah-olah menunjukkan ramai sangat yang tidak sukakan saya.

"Bahkan isu buka tudung dua tahun lepas pun masih dibangkitkan semula dan saya berharap agar netizen dapat memberi ruang kepada saya dengan menilai hasil kerja saya," katanya kepada Astro Gempak.

Uqasha berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran Hantu Kak Limah, di Taiping, baru-baru ini.

Selepas tujuh tahun, kesinambungan Hantu Kak Limah akan kembali menemui penonton pada tahun depan hasil usahasama Infinitus Productions dengan Astro Shaw.

Uqasha memegang watak Puteri Bunian bernama Zaiton yang jatuh cinta pada Husin, karakter utama yang kembali dijayakan Datuk Awie.

Turut berlakon dalam filem ini ialah Zul Ariffin sebagai Encik Solihin, guru silat merangkap agen road tax serta insurans.

Filem Hantu Kak Limah 3 dijangka menemui penonton pada Ogos 2018.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi