Isteri kepada penyanyi dan pelakon Aliff Aziz, Bella Astillah akui bergilir-gilir menjaga anak sulung mereka, Mohamad Ayden Adrean yang kini berusia empat bulan.

Menurut Bella, dia lebih selesa sekiranya anak lelakinya itu membesar di bawah jagaannya sendiri.

“Saya dan Aliff akan bergilir menjaga Ayden jika kami berdua mempunyai urusan kerja. Usia Ayden juga masih kecil jadi dia memerlukan perhatian daripada kami berdua.

“Kalau boleh saya tidak mahu Ayden dijaga oleh orang lain sebab saya takut tak ada ‘bonding time’ dengan anak.

“Saya tak mahu perkara itu berlaku jadi lebih baik kami berdua yang jaga, biar dia rasa dekat dengan ibu bapanya,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Bella ditemui ketika majlis pelancaran IamDNM kosmetik bertempat di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur, petang tadi.

Tambah Bella lagi, dia kini lebih fokus kepada keluarga dan banyak meluangkan masa untuk bersama anak.

“Bila bergelar ibu ini amat berbeza berbanding bujang kerana saya perasan banyak perubahan terjadi kepada saya selepas mendapat anak.

“Tinggal sekejap untuk selesaikan kerja pun dah rasa rindu apatah lagi jika berpisah untuk waktu yang lama.

“Memang saya ada dapat tawaran berlakon tapi saya rasa belum sampai masanya lagi kesian dengan Ayden yang masih kecil.

“Jadi biarlah dahulu, biarlah Ayden besar sedikit dan mana tahu ada rezeki lain pula nanti,” ujarnya.

Foto: Instagram Bella Astillah / Aliff Aziz