Aktres Uqasha Senrose mengakui teruja apabila dapat bergandingan dengan penyanyi dan pelakon popular Awie, di dalam filem Hantu Kak Limah sebagai pasangan kekasih.

Menurut Uqasha Senrose, 25, dia tidak pernah terfikir dapat bergandingan dengan idolanya itu memandangkan usia mereka amat berbeza.

"Dulu sewaktu kecil saya selalu menonton lakonan Awie dan tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk berlakon bersama-sama.

"Sekarang ini pun saya rasa seperti mimpi kerana tidak sangka apa yang saya lihat dalam filem dulu dan kini saya berpeluang untuk berlakon dengan dia sebagai pasangan kekasih.

"Ini merupakan peluang keemasan yang tidak mungkin saya lepaskan kerana bukan mudah untuk mendapat watak berlakon bersama Awie.

"Sudah semestinya saya berasa sangat bangga kerana dapat bekerjasama dengan Awie dan ini merupakan pengalamani terbaik dalam hidup saya sepanjang bergelar anak seni," katanya kepada Astro Gempak.

Uqasha berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran Hantu Kak Limah, di Taiping, baru-baru ini.

Selepas tujuh tahun, kesinambungan Hantu Kak Limah akan kembali menemui penonton pada tahun depan hasil usahasama Infinitus Productions dengan Astro Shaw.

Uqasha memegang watak Puteri Bunian bernama Zaiton yang jatuh cinta pada Husin, karakter utama yang kembali dijayakan Datuk Awie.

Turut berlakon dalam filem ini ialah Zul Ariffin sebagai Encik Solihin, guru silat merangkap agen road tax serta insurans.

Filem Hantu Kak Limah 3 dijangka menemui penonton pada Ogos 2018.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi