Pemenang tempat pertama Ceria i-Star 2017, Syifa mahu menggunakan wang kemenangan untuk membawa ibu bapanya menunaikan ibadah Umrah.

Kanak-kanak cilik berusia 8 tahun itu menyerlah di malam akhir konsert Ceria i-Star 2017 pada Jumaat lalu dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunani bernilai RM15,000 dan trofi.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berjaya menjuarai pertandingan ini. Saya tak sangka dapat menewaskan rakan-rakan lain.

"Insya-Allah, wang kemenangan akan saya gunakan sebaik mungkin. Selain berbelanja untuk kegunaan sendiri serta mahu bersedekah, saya mempunyai perancangan untuk membawa ibu bapa menunaikan ibadah Umrah di Tanah Suci Mekah," kata Syifa.

Kepetahan berbicara yang ditunjukkan oleh Syifa berjaya menarik perhatian juri dan penonton sehingga Syifa dinobatkan sebagai juara.

Ceria i-Star 2017 dihoskan oleh Nabil Ahmad, PU Yeop dan Dzawin. Imam Muda Asyraf dan Amin Idris bertindak selaku juri tetap dan bintang terkenal Indonesia, Laudya Cynthia Bella menggalas tugas sebagai juri nusantara.

Rancangan yang bersiaran sebanyak tujuh episod ini ditayangkan setiap Jumaat, jam 9.00 malam di Astro Ceria (611), Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135).

Program ini juga boleh ditonton di aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Teks oleh: Kamaruddin Razal