Vokalis kumpulan Wings, Awie mengakui ramai atis muda takut untuk menegurnya kerana dia mempunyai raut wajah yang garang.

Awie atau nama sebenarnya Datuk Ahmad Azhar Othman, 49, berkata, dia tidak memandang perkara itu sebagai masalah sebaliknya bersikap terbuka untuk mula menegur mereka dahulu.

"Ramai juga yang memberitahu bahawa mereka takut untuk menegur saya kerana raut wajah saya nampak garang dan tegas.

"Namun apabila sudah berbual dan kenal baru mereka tahu bahawa saya merupakan seorang yang kelakar serta tidak seperti yang mereka jangkakan.

"Jadi disebabkan itu saya mengambil langkah untuk mula menegur mereka dahulu kerana saya faham mungkin ada yang malu dan takut nak tegur.

"Jangan risau untuk menegur saya kerana muka sahaja nampak garang tetapi dalam hati ini sebenarnya ada taman," katanya kepada Astro Gempak.

Awie berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran Hantu Kak Limah, di Taiping, baru-baru ini.

Selepas tujuh tahun, kesinambungan Hantu Kak Limah akan kembali menemui penonton pada tahun depan hasil usahasama Infinitus Productions dengan Astro Shaw.

Turut berlakon dalam filem ini ialah Zul Ariffin, Uqasha Senrose, dan Erra Fazira.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi