Penyanyi dan pelakon Amira Othman mengakui sukar untuk dirinya menghidupkan watak sebagai Suhaila dalam drama bersiri Red Velvet.

"Saya memegang watak Suhaila, isteri kepada Fareeq lakonan Hafidz Roshdi. Saya akui sukar untuk saya membawakan watak seorang isteri kerana saya sendiri belum berkahwin.

"Saya banyak berbincang dengan Hafidz dan pengarah bagaimana mahu menghidupkan watak Suhaila. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan sangat lancar," kata Amira.

Tambah pelantun lagu Jaga Jaga itu, dia juga bertanyakan mengenai karakternya kepada aktor Que Haidar.

"Saya belajar lakonan dengan Que. Saya juga bertanyakan kepadanya, bagaimanakah mahu menghidupkan watak Suhaila.

"Que banyak membantu saya memberikan suntikan idea dalam merealisasikan watak tersebut. Atas bantuan Que dan semua pihak, saya lebih berani mewarnakan watak Suhaila," katanya ketika ditemui di Majlis Tamat Penggambaran Red Velvet di SukaSucre Bistro, baru-baru ini.

Majlis serba ringkas itu telah mendapat penajaan lokasi dan makanan oleh pemilik SukaSucre Bistro, Datuk Fazley Yaakob.

Bukan itu sahaja, SukaSucre Bistro juga menjadi salah satu lokasi penggambaran drama ini termasuk kemunculan Fazley sendiri sebagai penampilan khas.

Antara hidangan yang disediakan oleh SukaSucre Bistro adalah Pasta Daging Salai Lemak Cili Api, Meehoon Goreng, Nasi Goreng Ayam, kek cawan Red Velvet dan kuih-muih.

Sama-sama kita saksikan drama bersiri Red Velvet yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial, jangan lupa sertakan hashtag #RedVelvetDrama #RedVelvet.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @amiraaothman & @fazleyyaakob