Pelakon Anzalna Nasir enggan mengulas lanjut mengenai kemelut yang membabitkan adiknya, Afifah Nasir dan pasangan selebriti Bella Astillah dan Aliff Aziz.

Katanya, dia ingin lebih menumpukan soal kerjaya dan kehidupan peribadinya berbanding masuk campur urusan individu lain.

"Apa yang saya belajar tentang perkara yang telah berlaku sebelum ini adalah saya perlu sentiasa berjaga-jaga supaya tidak terkait dengan kontroversi.

"Saya rasa setiap hari adalah hari baru untuk kami lalui dan hal yang telah terjadi saya tidak perlu ulas lagi. Full stop!

"Kami sekeluarga ingin mencari kegembiraan dan perkara yang boleh membuatkan kami berjaya dalam kehidupan.

"Tentang apa pendekatan yang keluarga saya lakukan susulan kontroversi yang telah terjadi tidak perlu saya hebahkan kepada orang ramai," kata Anzalna kepada Astro Gempak.

Terdahulu, adik kepada Anzalna, Afifah terheret dalam kemelut hubungan yang melanda rumah tangga Aliff Aziz dan Bella Astillah sekitar hujung bulan Julai lalu.

Hingga kini, kontroversi yang melanda ketiga-tiga selebriti itu masih berlarutan walaupun masing-masing sudah cuba menyelesaikan isu terbabit.

Dalam perkembangan lain, Anzalna baru melancarkan produk semburan anti jerawat, Bye-Bye Zits berkolaborasi dengan produser Global Station Sdn. Bhd., Alia dan Adila Ramly.

Produk berharga RM69.90 itu boleh didapati di Empire Medispa dan stokis seluruh negara.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto; IG @anzalnanasir88