Pelakon Fazura memberitahu supertelefilem terbaharu, Wanita Terindah adalah kemunculan terakhirnya bersama aktor Fattah Amin.

Fazura berkata dia akan mengelak untuk digandingkan bersama Fattah sekurang-kurangnya sehingga pertengahan tahun hadapan.

"Saya boleh katakan, ini adalah projek terakhir kami digandingankan bersama untuk tahun ini.

"Saya mahu bergandingan dengan pelakon dan hero lain pula untuk tahun hadapan.

"Jadi tiada gandingan kami bersama lagi dalam masa terdekat.

"Saya akan mengelak untuk muncul bersama Fattah dalam mana-mana projek kerana saya rasakan kami perlu beri ruang untuk masing-masing berkarya dengan berlainan hero dan heroin.

"Ini strategi saya dalam lakonan dan saya tidak mahu peminat muak kerana sering melihat kami bersama," katanya kepada Astro Gempak.

Wanita Terindah merupakan supertelefilem yang ditayangkan menerusi saluran Astro First Eksklusif (saluran 480) sejak 2 November lalu.

Mengulas mengenai Wanita Terindah, Fazura memberitahu ia berbeza dengan lakonan mereka berdua sebelum ini kerana ia tidak menjual kisah cinta semata-mata sebaliknya lebih kepada unsur kekeluargaan.

"Kami tidak mahu penonton bosan jika asyik lihat kami berlakon sebagai pasangan kekasih sahaa.

"Ini adalah kelainan yang cuba kami tampilkan kepada peminat.

"Peminat boleh melihat kami dalam watak dan situasi berbeza kali ini di mana kami bukannya sekadar menjual kisah cinta semata-mata,” katanya lagi.

Selain Fazura dan Fattah, Wanita Terindah turut membariskan pelakon seperti Sarah Hildebrand, Liza Othman, Adam Mika, Ridzuan Hashim dan Samantha Katie James.