Penyampai radio Zayan, Anas Tahir akui tidak mahu dibayangi nama dan populariti abang kandungnya yang juga seorang penyanyi iaitu Faizal Tahir.

Pun begitu, Anas, 34, berkata dia tidak dapat lari daripada terpalit populariti abangnya kerana wajah mereka seiras.

"Bagaimana hendak tumpang populariti abang saya, sedangkan saya sendiri tidak pernah mengaku yang kami mempunyai pertalian darah.

"Namun, saya tidak boleh lari kerana orang pasti akan bertanya kerana rupa saya ada iras abang saya juga.

"Apa-apa pun terus-terang saya katakan, saya tidak suka dikaitkan atau dikenali sebagai adik kepada Faizal Tahir.

"Bukan sebab kami bergaduh atau apa, cuma saya rasa sedikit tidak selesa.

"Pernah dulu, bila orang tanya adakah saya adik Faizal saya terus beritahu saya anak tunggal dan tidak mengaku penyanyi itu abang saya," katanya kepada Astro Gempak.

Anas yang sebelum ini bekerja sebagai jurutera kini memulakan kerjaya baharunya sebagai penyampai radio sejak dua bulan yang lalu.

Mengulas mengenai bidang baharu diceburinya itu, Anas memberitahu tidak sangka dia akan terjebak dalam bidang penyiaran tersebut.

"Saya suka bercakap dan seorang yang peramah, malah sebelum ini saya memang ada juga menyanyi tetapi tidak sehebat Faizal.

"Apabila dipanggil untuk uji bakat radio baharu ini, saya tidak teragak-agak untuk pergi.

"Namun terus-terang saya katakan, saya tidak meletakan apa-apa harapan pun.

"Tapi apabila saya terpilih, saya bagai tak percaya malah sempat mengalirkan air mata kerana terharu.

"Alhamdulilah dua bulan bergandingan dengan Mawi saya semakin selesa dan seronok dengan kerjaya baharu saya," katanya lagi.

Anas dan Mawi mengendalikan slot Salam Bros di Zayan.fm setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 6 hingag 10 pagi.

Selain Mawi dan Anas, Zayan.fm turut menampilkan bekas penyampai berita dan fesyen Lin Ariffin, hos program televisyen aktif nasyid di televisyen Raqib serta pengacara majlis berpengalaman luas bidang radio Falyq.

Siaran Zayan #IndahdiHati boleh diikuti dengan jelas secara format RDS menerusi FM Stereo 104.9 Mhz (Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pahang Barat, Perak Selatan) dan 98.1 Mhz (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak Utara).

Juga melalui frekuensi 106.4 Mhz (Perak Tengah), 91.6 Mhz (Pahang Timur, Terengganu Selatan), 98.9 Mhz (Melaka, Johor Utara) serta 92.8 Mhz (Johor Selatan, Singapura, Batam Indonesia)

Teks oleh: Syafiqah Jalal