Lebih setahun bergelar penyanyi, Haqiem Rusli akhirnya berjaya merealisasikan hajat untuk memiliki kereta sedan pertama yang diidamkan jenis Mitsubishi Lancer.

Kereta itu kata Haqiem, 19, dibeli secara tunai menggunakan wang titik peluh yang dikumpulnya sedikit demi sedikit.

"Alhamdulillah kereta ini dibeli hasil titik peluh saya sendiri dan dibayar secara tunai.

"Pada mulanya saya berhasrat untuk membeli kereta sedan jenis Honda City namun ibu saya menyarankan untuk membeli kereta jenis Mitsubishi Lancer," katanya yang ditemui pada majlis sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik 32 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.


Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli juga merancang untuk memulakan francais bisnes burger sendiri yang diberi nama Haqiem Burger.

"Saya memang seorang yang suka menabung dan merancang untuk membuka francais bisnes burger pada tahun depan.

"Saya melihat ramai artis popular yang gagal menguruskan kewangan dengan baik, apabila sudah jatuh mereka hilang segalanya.

"Jadi, bisneslah yang mampu menjamin masa depan seseorang artis," katanya yang merancang untuk membuka cawangan pertama di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @haqiemrusli98