Memulakan perjalanan dalam bidang hiburan selepas tamatnya Akademi Fantasia musim kedua, kerjaya seni Bob Yusof kini memasuki usia 13 tahun.

Melalui pelbagai onak dan duri semenjak 2004, Bob mengakui pernah terasa hati dengan dunia hiburan.

“Bercakap mengenai suka duka sepanjang bergelar anak seni, tipulah jika saya tak pernah terasa hati. Kalau ikutkan terasa hati, dari dulu lagi saya sudah pulang ke kampung.

“Banyak lagu saya hasilkan, tetapi mungkin ia tidak mendapat sambutan. Saya pujuk hati sendiri, saya tanamkan azam dan tidak boleh berpatah semangat. Ini kerjaya saya, muzik merupakan punca rezeki saya. Saya mahu terus bekerja dan memandang ke hadapan,” katanya kepada Astro Gempak.

Mengakhiri perjalanan di pentas AF Megastar, Bob optimis dan tidak ralat apabila gagal meraih gelaran juara.

“AF Megastar satu pertandingan besar. Ramai yang hebat-hebat. Saya mahu menonjolkan bakat saya. Saya menjadikan konsert mingguan sebagai showcase saya sendiri.

“Mungkin sepanjang 13 tahun, ada yang terlepas pandang dengan bakat saya. Saya percaya yang mereka boleh melihatnya menerusi AF Megastar. Ini masanya untuk saya tampilkan bakat yang saya ada.

“Mungkin ada yang tidak tahu dan selepas AF Megastar, pasti mereka akan tahu. Saya enggan memikirkan gelaran juara kerana bagi saya itu bonus.

“Apa yang penting, saya melakukan yang terbaik. Selesainya AF Megastar, saya rasa berpuas hati kerana misi saya sudah berjaya,” katanya lagi.

Usai AF Megastar, Bob bakal mempromosikan lagu terbarunya, Terbuang Dalam Pelukan.

Menerusi lagu ciptaan Hafiz Hamidun ini, Bob mencurahkan idea sebagai penulis lirik.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @bobyusof