Penyanyi Aisyah Aziz selesa berulang alik dari Singapura ke Malaysia untuk melunaskan kerjaya seninya.

"Setakat ini, saya sering berulang dari Singapura ke Kuala Lumpur. Jika ada tawaran persembahan atau sebarang acara yang perlu saya hadiri, saya akan ke Kuala Lumpur. Selesai sahaja semua tugas, saya akan kembali ke Singapura untuk menyelesaikan tanggungjawab seni di Singapura.

"Biarpun agak memenatkan, semuanya saya lakukan kerana rasa cinta yang mendalam terhadap bidang muzik yang diceburi," kata Aisyah kepada Astro Gempak.

Gadis kelahiran Kota Singa ini juga menafikan dia lupa dengan peminat di Malaysia.

"Berulang alik tidak bermakna saya lupa dengan peminat Malaysia. Saya akui, saya menerima banyak tawaran di Singapura seperti tawaran persembahan nyanyian, teater muzikal dan sebagainya. Jadi, saya harus pandai membahagikan masa dan tidak melepaskan peluang.

"Tak timbul soal lupa kerana peminat selalu berada dalam hati saya. Saya sering berinteraksi dengan peminat di laman sosial untuk mendekatkan diri dengan mereka," katanya ketika ditemui usai Anugerah Planet Muzik 2017 di Singapura, baru-baru ini.

Lagu dendangan Aisyah, Tanda Tanya meraih trofi Kolaborasi Terbaik Lagu manakala gandingan Aisyah bersama penyanyi Singapura, Haikal Ali melayakkan dirinya memenangi trofi Lagu Terbaik Singapura dan Lagu Terbaik APM.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Paranormal