Pelawak dan penyampai radio Sinar FM, Shuib Sepahtu sudah menjangkakan dirinya akan tersingkir di minggu separuh akhir Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017).

“Saya sudah boleh rasa yang saya tersingkir di peringkat separuh akhir pertandingan ini.

“Saya sendiri sedar saya tidak banyak melibatkan diri dalam permainan dan sebagai ketua King Musang, saya banyak memberi peluang kepada peserta yang lain untuk bertarung dengan Tenggiling Taiko.

“Namun begitu, saya percaya yang rezeki saya hanya sampai di sini sahaja di SSS2017. Rezeki saya di luar, Insya-Allah,” kata Shuib kepada Astro Gempak.

Ketika ditanya kedudukannya sebagai ketua kumpulan King Musang yang akhirnya disingkirkan, Shuib mempunyai jawapan tersendiri.

“Biarpun saya menjadi ketua bagi kumpulan King Musang, semenjak awal permainan lagi saya sudah diberitahu oleh pihak produksi yang jawatan ketua kumpulan bukanlah satu lesen untuk kekal sehingga ke peringkat akhir SSS2017.

“Ketua kumpulan juga berkemungkinan untuk disingkirkan jika peserta lain mencapai kata sepakat. Saya berharap agar ahli kumpulan yang masih bertahan bermain dengan baik dan akhirnya memenangi SSS2017,” katanya lagi.

Di pusingan separuh akhir SSS2017, ahli kumpulan King Musang yang kalah di tangan kumpulan Tenggiling Taiko mengundi nama Shuib dan Amy untuk menjadi mangsa penyingkiran.

Pusingan akhir bakal menyaksikan semua peserta bersaing secara individu untuk meraih gelaran juara SSS2017.

Lapan peserta yang tinggal adalah Ozlynn, Sharif Zero, Mamak Puteh, Shahrol Shiro, Achey Bocey, Kamal Adli, Shuk SYJ dan Fad Bocey.

Saksikan Super Spontan Superstar 2017 yang bersiaran secara langsung di Dewan Percubaan UPM, Serdang, bermula 8 September 2017, setiap Jumaat, jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Warna HD (saluran 124).

Program ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan ‘on demand’.

Kata-kata akhir dari ketua kumpulan #KingMusang @shuibsepahtu . Terima kasih atas khidmat anda. #superspontansuperstar

A post shared by Zon Lawak (@zonlawak) on


Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @zonlawak & @shuibsepahtu