Penyanyi Ayda Jebat mengintai peluang untuk berkolaborasi bersama penyanyi dari negara serumpun, Singapura dan Indonesia.

Meraih trofi Ikon Media Sosial di Anugerah Planet Muzik 2017 (APM 2017), kesempatan bersaing dalam majlis anugerah yang melibatkan tiga negara itu memberikan satu pengalaman berbeza untuk dirinya.

"Bagi saya, APM 2017 bukan sahaja untuk bersaing dan membawa nama sendiri, ia lebih dari itu. Pentas APM menjadi satu landasan untuk saya menilai hasil kerja saya dalam bidang muzik.

"Sudah tentu gaya dan perkembangan muzik setiap negara berbeza, jadi saya mendapat banyak input mengenai apa yang berlaku di negara jiran.

"Selain itu, saya juga boleh mengintai peluang untuk berkolaborasi dengan pemuzik dari negara-negara lain. Jika di Malaysia, kita mengenali beberapa nama besar seperti Krisdayanti, Rossa, Afgan dan Cakra Khan.

"Tetapi sebenarnya lebih ramai penyanyi yang berbakat dan mempunyai nama besar di negara jiran. Saya meluaskan jaringan persahabatan dengan penyanyi dan pemuzik lain, mana tahu saya berpeluang untuk bekerjasama dengan mereka kelak," kata Ayda.

Tambah Ayda, dia percaya kerjasama dengan penyanyi negara lain dapat memberikan pengalaman baru buat dirinya.

"Sudah tentu peluang kolaborasi akan memberikan satu dimensi baru dalam kerjaya seni saya. Jika mendapat peluang sebegitu, saya akan menggunakannya dan memberikan persembahan terbaik untuk menarik kelompok peminat negara jiran," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @aydajebat