Hero Remaja 2017, Alif Muhaimin mengakui pengalaman bekerja seorang pencuci kereta banyak mengajar dia tentang erti kehidupan yang sebenar.

Menurut Alif Muhaimin, dia akan melakukan apa sahaja pekerjaan yang dapat membantu menambahkan pendapatan keluarga dan menolong adik-adiknya yang masih bersekolah.

"Sebenarnya saya pernah hidup susah sejak daripada kecil lagi dan pernah bekerja sebagai pencuci kereta untuk mendapatkan pendapatan sampingan.

"Saya juga banyak belajar tentang kehidupan sebenar apabila bergaul dengan orang-orang sekeliling ketika bekerja melalui pengalaman hidup yang dikongsikan oleh mereka.

"Jujur saya katakan saya akan melakukan apa sahaja kerja yang boleh mendapatkan wang untuk membantu keluarga.

"Alhamdulillah saya bersyukur kerana berjaya bergelar Hero Remaja 2017, dan akan menjadikan platfom ini untuk membantu golongan yang memerlukan," katanya kepada Astro Gempak.

Alif berkata demikian ketika ditemui pada sesi rakaman akhir program Hero Remaja yang diadakan di The Glass House, Seputeh, baru-baru ini.

Pada episod finale itu, Farhan Asri telah diumumkan sebagai pemenang tempat kedua dan Harris Annuar, 24, berjaya menempatkan diri di tangga ketiga.

Sementara itu, Nabil Aqil telah diumumkan sebagai Hero Favourite hasil undian peminatnya secara online dengan mendapat sebanyak 16,410 undian dan Adam Yusuf telah memperolehi anugerah khas Hero Inspirasi daripada Juri.

Ikmal Amry dan Safwan Nazri terpaksa akur apabila mereka disingkirkan selepas juri bersepakat bahawa hanya lima orang finalis sahaja yang layak berada di Top 5.