Rentetan kontroversi yang terjadi antara bintang AF Megastar, Shahir bersama seorang pramugari bernama Mona, penyanyi itu mengeluarkan kenyataan mahu menarik diri dari pentas akhir AF Megastar.

Shahir atau nama sebenarnya, Ahmad Shahir Zawawi mengeluarkan kenyataan tersebut menerusi sebuah entri terbaru di laman Instagram miliknya, @shahirzawawi88.

"Tak senang hati rupanya melihat Allah bagi rezeki pada saya. Cubaan sabotaj demi sabotaj untuk menutup periuk nasi saya.

"Baiklah, demi merealisasikan impian mereka untuk menghancurkan karier saya, insya-Allah saya sendiri akan tarik diri dari pentas akhir AF Megastar," tulis Shahir.

Mona atau nama sebenarnya, Mona Syamimi Mohd Samsudin didakwa menjalinkan hubungan dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan.

Awal minggu ini, foto-foto mesra Shahir dan Mona menjadi viral dan hangat dibincangkan di laman sosial.

Dalam satu kenyataan kepada BH Online, Shahir menafikan dirinya mempunyai hubungan dengan Mona dan menganggap yang wanita itu hanya sekadar peminat.

Shahir juga mengeluarkan kenyataan mahu menyunting teman rapatnya, aktres Erra Fazira awal tahun hadapan.

Mona memberikan kenyataan balas dan kesal dengan tindakan Shahir yang menganggap dirinya sebagai peminat.

"Bukan mahu memburukkan namanya tetapi saya terasa hati apabila selama ini dia hanya anggap saya sebagai peminat. Hampir setiap hari saya habiskan masa dengannya dan berbalas mesej. Takkan itu dikatakan sebagai peminat? Sungguh tidak masuk akal.

"Sepanjang perkenalan, dia ada meluahkan rasa rindu dan sayang menerusi kiriman WhatsApp yang dihantar. Dia juga seoalah-olah memberi harapan kepada saya namun tidak sangka apabila isu ini tular dia cuba mengelak. Saya tidak rasa ada mana-mana artis melayan peminat mereka sedemikian.

"Lebih baik dia beritahu kami hanya berkawan. Apabila perkara ini menjadi bualan, orang luar menganggap saya gila glamor dan sengaja meburuk-burukkan Shahir.

"Kami kerap keluar makan dan menonton wayang. Malah dia akan menjemput saya di rumah. Kami juga sering berbual menerusi aplikasi Facetime.

"Mustahil dia anggap saya sebagai peminat. Saya harap dia betulkan kenyataannya kerana perkara ini menjejaskan kerjaya saya,” kata Mona kepada Harian Metro.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Sumber: Instagram @shahirzawawi88, BH Online, Harian Metro