Penyanyi Bob mendedahkan dirinya sering tak lena tidur memikirkan persembahan terbaik untuk Konsert AF Megastar setiap minggu.

Meskipun sudah mempunyai 13 tahun pengalaman dalam bidang nyanyian, bukan mudah untuk Bob membuat perancangan untuk persembahannya dalam masa yang singkat.

"Jadual sebagai bintang AF Megastar sangat padat kerana boleh dikatakan setiap hari kami mempunyai komitmen dengan program tersebut.

"Isnin hingga Rabu kami terikat dengan komitmen dari pihak AF Megastar termasuk terlibat dengan rangka promosi serta sesi penggambaran.

"Khamis baru kami sempat hendak berlatih dan Jumaat sudah mula membuat rehearsal di pentas sebenar iaitu di Dewan Teater Shah Alam.

"Jadi bayangkan, dari proses pemilihan lagu hingga perancangan untuk susuanan muzik dan persembahan semua dilakuakn dalam masa yang singkat.

"Saya sampai tidak tidur malam memikirkan segalanya dalam satu masa.

"Tapi alhamdulilah, semuanya berjalan dengan lancar dan saya dapat melaluinya dengan baik," katanya kepada Astro Gempak.

Bob antara bintang yang berjaya mara ke peringkat akhir AF Megastar selain Idayu, Marsha, Syamel dan Shahir.

Konsert akhir AF Megastar bakal menampilkan setiap bintang untuk mempersembahkan dua buah lagu yang mana satu daripadanya pilihan lagu bebas dan sebuah lagu baru yang bakal menjadi single mereka.

Mengulas mengenai persiapannya untuk konsert akhir nanti, Bob memberitahu dia sukar untuk memilih lagu baru yang bakal menjadi single kelak.

"Sebenarnya sukar untuk memilih lagu baru ini kerana saya perlu benar-benar cari melodi yang sesuai dengan identiti saya.

"Dalam masa yang sama saya juga mahu mencari lagu yang menjadi trending dan kesukaan pendengar masa kini.

"Saya bercita-cita untuk menzahirkan serta mempersembahkan muzik saya sendiri di atas pentas nanti," katanya lagi.

AF Megastar yang dikemudikan oleh Datuk Aznil Hj Nawawi bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Untuk menonton video persembahan bintang-bintang AF Megastar, layari http://www.gempak.com/af-megastar/video

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman http://www.afmegastar.com.my/

Jika mahu menonton koleksi konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga ke AF2013, boleh ke Astro On Demand (OD) dengan melayari www.watchod.com

Teks oleh: Syafiqah Jalal