Vokalis anggota kumpulan Nastia, Leo Azman, mengakui tidak berkecil hati apabila peminat lebih mengetahui mengenai lagu mereka berbanding nama kumpulan itu sendiri.

Menurut Leo Azman, dia bersyukur kerana single pertama mereka, Rapuh mendapat sambutan yang luar biasa daripada peminat.

"Bagi saya tiada apa yang perlu berkecil hati kerana itu merupakan perkara biasa apabila orang lebih mengetahui tentang lagu berbanding anggota band yang lain.

"Kami masih baharu dalam industri ini jadi buat masa sekarang biarlah orang mengenali dan biasakan diri dengan muzik kami terlebih dahulu.

"Tujuan kami berada dalam industri bukan untuk meraih populariti semata-mata dan kami cuma ingin mempelbagaikan genre muzik yang ada di Malaysia.

"Kami juga bersyukur apabila single pertama kami sekarang ini menjadi siulan pendengar dan ditonton di YouTube," katanya kepada Astro Gempak.

Selain Leo Azman, kumpulan Nastia turut dianggotai oleh Rudy Iskandar (gitar), Zack Zainal (piano) dan Adzim Shafi (bes).

Leo Azman berkata demikian ketika ditemui semasa program Jom Bercuti Bersama Aizat Amdan dan Nastia di Hotel Frangipani Langkawi Resort And Spa, Kedah, baru-baru ini.

Seramai enam orang peminat bertuah telah dibawa bercuti ke Pulau Langkawi bersama artis kegemaran mereka.

Program Jom Bercuti Bersama Aizat Amdan dan Nastia merupakan anjuran bersama Warner Music Malaysia, Astro Gempak dan Hotel Frangipani Langkawi Resort And Spa.










Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi