Penyanyi dan penulis lirik Aizat Amdan akui kagum dengan keunikan mutu vokal yang ada pada pelakon Fattah Amin.

Aizat Amdan atau nama sebenarnya Muhammad Aizat Amdan, 28, berkata, dia mempunyai pendapat tersendiri mengenai keupayaan Fattah dalam dunia seni suara meskipun pelbagai kecaman dilemparkan kepada aktor itu.

"Sebenarnya agak tidak wajar apabila pelbagai kecaman dilemparkan kepada Fattah kerana bagi saya Fattah mempunyai mutu vokal yang unik daripada orang lain.

"Jujur saya katakan lagu Wanita Terakhir itu bukan mudah untuk saya nyanyikan dan hanya Fattah sahaja yang boleh bawakan lagu itu dengan caranya yang tersendiri.

"Bagi saya setiap orang boleh menyanyi termasuklah Fattah dan saya nampak dia ada kesungguhan serta sedang berusaha menjadi seorang penghibur serba boleh.

"Saya nampak dia berusaha kearah itu dan tidak dinafikan Fattah mempunyai aura tersendiri untuk lebih berjaya pada masa akan datang," katanya kepada Astro Gempak.

Aizat berkata demikian ketika ditemui semasa program Jom Bercuti Bersama Aizat Amdan dan Nastia di Hotel Frangipani Langkawi Resort And Spa, Kedah, baru-baru ini.

Seramai enam orang peminat bertuah telah dibawa bercuti ke Pulau Langkawi bersama artis kegemaran mereka.

Program Jom Bercuti Bersama Aizat Amdan dan Nastia merupakan anjuran bersama Warner Music Malaysia, Astro Gempak dan Hotel Frangipani Langkawi Resort And Spa.



Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi