Pelakon popular, Izara Aishah mengesahkan bakal bernikah dengan tunangnya, Adib Khalid, pada 17 November ini.

Izara, 25, berkata majlis bakal berlangsung menggunakan duit sendiri tanpa mendapatkan penajaan daripada mana-mana pihak.

"Alhamdulillah, buat masa sekarang sudah 50 peratus persiapan sudah dilakukan. Saya berharap segala dirancang berjalan lancar sehingga majlis nanti.

"Saya bukannya menolak penajaan tetapi tidak ada sesiapa yang tahu saya bakal berkahwin pada tarikh ini.

"Lagi pun, saya memang merancang nak mengeluarkan perbelanjaan sendiri. Ini kerana saya ada cita rasa sendiri," katanya kepada Harian Metro.

Izara menjelaskan, majlis bakal berlangsung itu diadakan tertutup membabitkan keluarga dan rakan terdekat sahaja.

"Oleh itu, saya terlebih dahulu memohon maaf kepada semua. InsyaAllah, majlis resepsi juga pada hari sama.

"Kedua-dua majlis diadakan di Kuala Lumpur. Begitu juga dengan majlis resepsi sebelah lelaki. Bagi saya, ia lebih mudah untuk semua jemputan," katanya.

Sumber: Harian Metro
Foto: Instagram Izara Aishah