Pelakon, Juliana Evans akui tidak kisah sekiranya dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata walaupun masih dalam fasa berbulan madu bersama suaminya, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj.

“Alhamdulillah, selama enam bulan berkahwin saya bahagia. Kalau ditanya sama ada bersedia atau tidak untuk bergelar ibu, InshaAllah.

“Saya akui masih lagi dalam fasa berbulan madu. Bagi saya ini adalah peluang untuk kami belajar tentang diri masing-masing dan memahami antara satu sama lain.

“Kalau boleh buat masa sekarang saya mahu berikan fokus untuk kerjaya dan juga perniagaan.

“Tetapi andai kata dikurniakan rezeki awal, saya gembira dan okay sahaja. Lagipun saya juga ada dengar orang kata tak perlu terlalu nak buat perancangan keluarga, khuatir nanti tak dapat pula,” katanya.

Juliana ditemui pada majlis pelancaran drama mini bersiri online Mata Cinta yang diadakan di TGV, One Utama, Petaling Jaya, pada Isnin.

Selain Juliana, drama 10 episod ini juga turut dibintangi oleh Syamim Farid, pelakon baru Julien Buteau, Aush Abdul Wahid, Dynas Mokhtar, Sasha Saidin dan ramai lagi.

Mata Cinta dibawakan oleh portal Gempak menerusi penerbitan Gempak Original Series akan disiarkan di bawah platform digital bermula 9 Oktober ini.

Drama terbitan produksi Red Communications Sdn Bhd ini akan disiarkan secara ekslusif di platform digital www.matacinta.com.my dan aplikasi Gempak.

Foto: Instagram @julianaevans

Teks oleh: Mya Amri