Penyanyi Ewal nafi komen negatif terhadap persembahannya di Konsert AF Megastar penyebab dia tersingkir malam tadi.

Ewal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail berkata dia menerima kritikan daripada juri tetap, Datuk Ramli MS dengan hati yang terbuka kerana merasakan setiap orang punya pendapat masing-masing.

"Saya tak rasa komen dan kritikan yang diberikan menjadi punca kepada penyingkiran saya malam ini.

"Sebagai juri mereka ada pendapat mereka masing-masing dan saya terimanya dengan hati yang terbuka.

"Saya cuba membawa lagu itu dalam genre pop rock tapi malangnya ia didengar sebagai pop sahaja.

"Bagaimanapun saya tak rasa penyingkiran saya ini sebagai pengakhiran karier saya, sebaliknya ia permulaan yang baik untuk saya terus berada dalam industri," katanya kepada Astro Gempak.

Ewal ditemui selepas berakhirnya Konsert AF Megastar minggu kedua yang berlangsung di Theatre Shah Alam malam tadi.

Ramli MS mengkritik persembahan Ewal malam itu kerana merasakan lagu Potret nyanyian asal Akim & The Majistret yang dibawakan tidak menepati tema rock.

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Ewal memberitahu dia bakal muncul dengan sebuah single terbaharu.

"Sebelum menyertai program ini lagi saya sudah pun merakamkan sebuah single untuk dikeluarkan tidak lama lagi.

"Lagu ciptaan Sharon Paul, Hafiz Suip dan Adib Nahar itu kini dalam proses finishing," katanya lagi.

Sembilan bintang yang mara ke peringkat seterusnya adalah Bob, Idayu, Marsha, Shahir, Amir Jahari, Indah Ruhaila, Sufi Rashid, Syamel, dan Amir.

AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9malam.

Untuk menonton video persembahan bintang-bintang AF Megastar, layari http://www.gempak.com/af-megastar/video

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman http://www.afmegastar.com.my/

Jika mahu menonton koleksi konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga ke AF2013, boleh ke Astro On Demand (OD) dengan melayari www.watchod.com

Teks oleh: Syafiqah Jalal