Juri tetap AF Megastar, Datuk Ramli MS akui pemilihan 12 bintang yang mara ke AF Megastar bukan sahaja dinilai menerusi persembahan mereka di atas pentas sebaliknya dikira daripada pelbagai aspek penjurian.

Ramli MS berkata bintang-bintang tersebut dipilih kerana mempunyai nilai 'megastar' sebenar.

"Saya memilih bukan kerana aksi dan persembahan mereka malam ini sahaja.


"Saya melihat mereka yang terpilih ini mempunyai potensi untuk 10 tahun akan datang.

"Namun mereka tidak boleh buang masa, mereka perlu tunjukkan sepenuhnya bakat yang mereka ada selepas ini.

"Mereka mempunyai 'content' yang boleh dibawa dan dikembangkan lagi untuk menjadi seorang 'megastar'.

"Selain itu kita lihat daripada banyak aspek penjurian lain seperti cara teknikal nyanyian serta kredibiliti mereka sebagai seorang penyanyi," katanya kepada Astro Gempak.

Ramli MS ditemui selepas tamat AF Megastar Homecoming yang bersiaran secara langsung dari Royale Theatre Shah Alam, malam tadi.

12 bintang yang terpilih adalah Syamel, Indah, Idayu, Bob, Marsha, Amir Jahari, Adira, Shahir, Amir, Sufi, Azhar dan Ewal.

Ramli MS berharap semua bintang yang terpilih tidak melakukan kesilapan dalam pemilihan lagu dan susunan muzik yang mereka persembahkan.

"Saya tidak sabar menunggu kreativiti bintang-bintang ini dan saya harap mereka tidak melakukan kesilapan dalam pemilihan susunan muzik.

"Pada saya lagi banyak pertukaran dalam susuan muzik lagi sukar untuk mereka menjiwai lagu tersebut.

"Selain itu nasihat saya mereka tidak perlu sombong ketika bernyanyi kerana orang tidak suka jika penyanyi itu cuba menunjuk-nunjuk," katanya lagi.

Selain, Ramli, keputusan diadili sepenuhnya oleh juri tetap, Syafinaz Selamat serta juri jemputan, Ziana Zain.

AF Megastar bersiaran secara langsung di Astro Ria (104) dan Ria HD (123), setiap hari Ahad, jam 9 malam.

AF Megastar juga boleh ditonton secara langsung di laman http://www.afmegastar.com.my/

Jika mahu menonton koleksi konsert akhir Akademi Fantasia dari musim pertama hingga ke AF2013, boleh ke Astro On Demand (OD) dengan melayari www.watchod.com


Teks oleh: Syafiqah Jalal