Penyanyi Amira Othman akui cerewet adalah punca dia mengambil masa yang lama untuk muncul dengan single terbaharu.

Namun setelah setahun menyepi, pencarian single keempatnya itu baru sahaja ditemui selepas dia memilih hasil karya daripada komposer dan penyanyi Hael Husaini.

"Bagi single keempat ini, saya akui mengambil masa yang agak lama untuk muncul dengan lagu baharu.

"Bukan apa, saya sangat cerewat sehingga sukar berjumpa dengan lagu yang betul-betul memikat hati.

"Pada saya, lagu yang berkualiti adalah paling penting untuk seorang penyanyi kerana saya mahu lagu yang betul-betul menangkap jiwa pendengar.

"Alhamdulilah, saya jumpa dengan lagu dan melodi yang saya nak iaitu hasil karya Hael Husaini," katanya kepada Astro Gempak.


Amira memberitahu Hael yang juga komposer single Hati-Hati itu amat memahami kehendaknya dalam nyanyian.

"Sebenarnya Hael pernah cipta lagu saya sebelum ini dan kini dia berjaya muncul dengan sebuah lagu yang memenuhi citarasa saya.

"Pun begitu, single terbaharu saya ini genrenya berbeza sedikit daripada lagu-lagu saya sebelum ini.


"Saya mahu tampil sesuatu yang baharu dan segar tetapi masih ada sedikit 'vibes' lagu Hati-Hati.

"Namun lagu itu masih belum ada judul kerana liriknya belum lagi disiapkan," katanya lagi.

Amira bakal muncul dengan single terbaharu tersebut pada penghujung tahun ini.

Teks oleh: Syafiqah Jalal