Penyanyi Faizal Tahir menjelaskan tiada sebarang permasalahan membabitkan dirinya dan pelawak yang memiliki paras rupa seakan sama dengannya, Joe Aziz.

Kata Faizal, selagi individu terbabit tidak melakukan perkara yang melanggar etika atau menyalahi undang-undang maka tidak perlu memanjangkan kisah antara mereka berdua.

"Saya tiada masalah dengan sesiapa, saya tidak marah dia. Janji dia tidak buat perkara tidak elok.

"Saya tiada masalah jika dia memiliki wajah seiras saya.

"Kalau orang mahu gunakan nama atau muka saya, tiada halangan pun. Ini hak Allah. Kalau nak guna, gunalah," jelas Faizal ketika ditemui pada program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) di MITC, Melaka baru-baru ini.

Terdahulu, media melaporkan bekas peserta Raja Lawak musim kedua, Joe Aziz menjadi perhatian apabila dikatakan memiliki rupa paras seperti Faizal Tahir.

Bagaimanapun Joe atau nama sebenarnya Aziz Ismail, 33, memiliki kelebihan untuk meniru suara dan gaya individu popular seperti Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, Zizan Razak, Zamani Slam dan ramai lagi.

Joe juga memberitahu bahawa dia menganggap memiliki wajah seakan Faizal Tahir merupakan satu bonus untuk mencari rezeki dalam industri hiburan cuma dia harus lebih berhati-hati kerana khuatir penyanyi itu menjadi mangsa.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @faizal_tahir @joeaziz_lawaking