Selepas 13 hari ditayangkan filem arahan pengarah muda Syafiq Yusof, Abang Long Fadil 2 (ALF 2) berjaya meraih kutipan sebanyak RM13 juta.

Kutipan memberangsangkan tersebut membuktikan filem tempatan masih diminati dan sentiasa mempunyai tempat di hati peminat.

Syafiq ketika dihubungi Astro Gempak berkata, dia tidak menyangka filem ALF 2 mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ALF 2 mendapat kutipan yang baik sehingga hari ini dan sebenarnya saya tidak sangka langsung ia akan melepasi kutipan ALF sebanyak RM4.5 juta sebelum ini.

“Saya berterima kasih kepada Allah SWT kerana rezeki yang diberikan ini, keluarga yang tidak putus-putus memberi semangat dan para penonton yang telah ke panggung membeli tiket ALF 2,” katanya.

Ketika ditanya adakah dia meletakkan sasaran kutipan untuk filem bergenre komedi aksi ini, Syafiq memberitahu perkara tersebut tidak pernah terlintas difikirannya.

“Saya tidak pernah meletakkan apa-apa sasaran kepada setiap filem yang saya hasilkan kerana papa dan abang selalu berpesan supaya tidak berbuat demikian.

Alhamdulillah... filem #abanglongfadil2 capai kutipan RM 13 Juta dalam masa 13 hari! Terima Kasih semua!

A post shared by Syafiq Yusof (@fiq000s) on


“Kata mereka, jangan letakkan sasaran dan harapan kerana takut nanti kecewa di kemudian hari. Jadi, nasihat mereka saya pegang sehingga hari ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syafiq memberitahu kutipan ALF 2 menaikkan semangatnya untuk sekuel ALF 3.

“Jujur saya katakan, sebelum ini saya memang merancang untuk sekuel ALF 3 tetapi bergantung kepada kutipan ALF 2.

“Nampaknya, impian saya jadi kenyataan. Papa pun dah bagi ‘greenlight’ untuk saya develop skrip ALF 3,” katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Kepada yang masih belum menonton ALF 2, jangan tunggu lagi! Pergi ke pawagam berhampiran dan bersedia untuk menonton filem aksi dengan ‘punchline’ bertubi-tubi ini!

Alhamdulillah... Filem #abanglongfadil2 masih di tangga pertama dalam Top10 GSC Movies! Thank you Malaysia ??

A post shared by Syafiq Yusof (@fiq000s) on


Abang Long Fadil 2 mengisahkan tentang perjalanan hidup Fadil, yang terjerumus ke dalam dunia mafia, didalangi oleh Taji Samprit dan anaknya Wak Doyok.

Fadil terpaksa menjalani kehidupan sebagai seorang pembunuh upahan walaupun dia bukanlah seorang pembunuh. Sasaran pertama Fadil ialah King Kong, seorang yang gila kuasa dan musuh kepada Taji Samprit. Berjayakah Fadil menempuh dugaan yang berlaku pada dirinya?

Filem sarat aksi dan komedi itu dibintangi oleh Zizan Razak, Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal, Wak Doyok, Achey, Shuib, Tania Hudson dan A Galak.

Foto: Instagram Syafiq Yusof