Pelakon Zul Ariffin mendedahkan terpaksa menyahaktifkan akaun Instagramnya pada awal Julai lalu selama beberapa minggu kerana mahukan ketenangan.

Jelas Zul, 31, tindakannya itu dilakukan bukan kerana berdepan masalah peribadi atau tertekan dengan komen negatif yang melampau oleh netizen, tetapi bimbang dirinya ketagih dengan media sosial.

"Saya cuma deactivate akaun Instagram saya buat seketika sahaja sebab bimbang menjadi ketagih. Ibaratnya bercuti dari media sosial sekejap, bukan kena godam atau sabotaj pun.

"Saya mahu mengambil sedikit masa selama beberapa minggu untuk relaks dan sekarang saya aktifkan kembali akaun saya sebab keperluan daripada segi promosi produk saya misalnya filem lakonan saya yang terbaharu.

"Apabila beberapa minggu tanpa Instagram, saya rasa lebih tenang dan fokus dengan kehidupan sehari-hari," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran trailer, lagu tema dan poster filem Tombiruo: Penunggu Rimba di Publika siang tadi.

Tambah Zul lagi, komen negatif yang ditinggalkan di Instagramnya tidak pernah menjadi punca untuk dia menyahaktifkan akaun tersebut.

"Komen-komen itu tidak penting bagi saya apatah membuatkan saya rendah diri sampai mahu deactivate Instagram.

"Sekali sekala rasa kelakar apabila membaca balik komen-komen netizen.

"Saya pun sudah lebih 10 tahun dalam industri dan lali dengan komen-komen sedemikian. Nak balas pun tak guna sebab ia akan sentiasa ada," katanya yang tidak menolak akan menyahaktifkan akaun media sosialnya lagi selepas ini seandainya perlu.

Dalam perkembangan lain, Zul bakal muncul sebagai pelakon utama filem adaptasi novel Tombiruo: Penunggu Rimba pada 12 Oktober depan.

Tombiruo: Penunggu Rimba mengisahkan kehidupan Ejim yang digelar Tombiruo. Lelaki yang sentiasa bertopeng itu disisihkan penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia.

Selain Zul, filem adaptasi novel tulisan Ramlee Awang Murshid itu dibintangi oleh Farid Kamil, Nabila Huda, Datuk M. Nasir, Faizal Hussein dan Faye Kusyairi.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @zul_ariffin