Kembar seiras kacak, Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal merangkul emas Sukan SEA KL2017 dalam acara berbasikal kategori ujian masa berpasukan yang berlangsung semalam.

Selain mereka berdua, skuad berbasikal negara turut dianggotai Nik Mohd Azwan Zulkiflie, 27, dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, 31, yang bertindak selaku ketua pasukan.

Meraih kejayaan sulung, mereka menghabiskan kayuhan sejauh 51 kilometer dan menyifatkannya usaha yang mereka lakukan berbaloi.

Jom semak beberapa perkara menarik mengenai kembar kacak yang baru sahaja berusia 22 tahun:

1. Ameer dan Ameen mula berminat dengan sukan berbasikal sejak berada di tingkatan empat.

2. Pada hujung minggu atau cuti sekolah, mereka berdua akan mengayuh basikal secara santai bersama bapa saudara di sekitar bandar Melaka.

3. Bapa saudara yang melihat kesungguhan Ameen dan Ameer telah memperkenalkan mereka kepada kawan-kawannya. Salah seorang daripada kenalan itu merupakan jurulatih basikal negeri Melaka.

4. Antara kejohanan berbasikal yang pernah disertai oleh mereka ialah Le Tour de Langkawi tahun 2014, Tour de Korea 2015, Almaty Kazakhstan 2015 dan Sukma 2016 di Sarawak.

5. Ameer berjaya merangkul pingat emas pada Sukma 2016.

6. Ameer dan Ameen tidak menyangka mampu menghadiahkan emas buat negara kerana penyertaan ini merupakan penampilan sulung mereka di pentas Sukan SEA.

7. Sebelum bertanding di KL2017, Ameen mengalami sakit perut tiga hari lepas. Kesakitan itu tidak mematahkan semangatnya untuk menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia.

8. Kembar ini berterima kasih kepada ketua pasukan mereka, Muhammad Fauzan kerana banyak membantu dan memberi tunjuk ajar ketika latihan atau perlumbaan.

9. Mereka sentiasa mengingati pesanan Muhammad Fauzan supaya jangan meninggalkan solat dan sentiasa berlatih bersungguh-sungguh.

Untuk perkembangan dan informasi mengenai GempakXSeaGames, layari www.gempak.com/seagames2017 atau ikuti laman Facebook Astro Gempak dan Instagram @astrogempak.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Sumber: Bernama, Utusan Malaysia & Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia