Siapa sangka atlet sukan olahraga lompat kijang, Nik Fariezal Erman Nik Abdul Hadi pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan dan penjaga parkir.

Malah, Nik Fariezal juga pernah mengalami episod menyedihkan ketika menyertai Terbuka Thailand pada Ramadan lalu, sebagai pemilihan terakhir ke Sukan SEA ke-29 (KL2017) hanya berbekal wang saku berbelas ringgit sahaja.

Bagaimanapun anak kelahiran Dungun, Terengganu ini berjaya membuktikan kesungguhan mampu merealisasikan impian walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan dan kesusahan.

Buktinya, Nik Fariezal berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan catatan sejauh 15.29 meter di kejohanan Terbuka Thailand sekali gus meletakkan dirinya kini berada di kedudukan kedua di Malaysia pada tahun ini dan layak ke KL2017.

Menyingkap kembali rintangan yang pernah dilalui Nik Fariezal, dia terpaksa melakukan kerja sambilan untuk mencari wang menampung perbelanjaan hariannya.

Antara kerja yang pernah dilakukannya adalah menjaga parkir dan pengawal keselamatan.

Dalam pada itu, menerusi satu kenyataan, bakal mahasiswa Universiti Putra Malaysia ini, berkata, dia hanya mahu memberi fokus untuk mengatasi catatan peribadinya, iaitu lompatan sejauh 15.53 meter pada KL2017.

Dia juga tidak mahu membebankan diri dengan sasaran pingat dan yakin idolanya, Muhammad Hakimi mampu mempertahan pingat emas di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu.

“Jika rezeki saya menang pingat, sudah pasti hendak dedikasikan kejayaan itu kepada ibu bapa, keluarga, jurulatih, kawan-kawan dan rakyat Malaysia yang tidak putus memberi sokongan berterusan kepada atlet negara,” katanya yang akan beraksi pada malam 23 Ogos ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Terdahulu, syarikat DBI Technology Sdn Bhd. milik penerbit filem Blok 404, Datuk Boy Iman untuk tampil menajanya Nik Fariezal kerana kagum dengan kegigihan ditunjukkan atlet tersebut.

Menerusi tajaan tersebut, atlet acara lompat kijang itu menerima tajaan berbentuk wang tunai serta barangan sukan.

Untuk rekod, Nik Fariezal merupakan pemenang pingat Perak Kejohanan Sekolah Asia dan pingat emas Kejohanan Sekolah ASEAN tahun 2014, pingat Perak Kejohanan Terbuka Malaysia (2015) dan finalis Kejohanan Olahraga Dalam Dewan di Doha, Qatar (2016).