Dari dunia lakonan ke peragaan dan kini menjadi wartawan penyiaran pula!

Pelakon Tania Hudson yang kini terjun ke bidang penyiaran hakikatnya cuma melengkapkan diri dengan cara menonton teknik dan siri temu bual di platform media sosial Youtube.

Kata Tania atau nama sebenarnya Tania Nadira Hudson, dia juga terbuka untuk menerima kritikan sekiranya kualiti penyampaiannya kurang membuahkan hasil.

"Saya ada membuat ulangkaji untuk menjadi seorang wartawan penyiaran terutama wartawan jenayah. Ya, memang bukan mudah.

"Namun, banyak input yang bermanfaat dan berguna saya terima daripada Youtube.

"Sekiranya penyampaian saya tidak bagus saya terima kritikan atau komen dan akan memperbaiki dari semasa ke semasa," katanya yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem Abang Long Fadil 2 di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi yang terlepas pandang, Tania sebenarnya akan melakonkan watak seorang wartawan penyiaran jenayah untuk filem sekuel kedua itu.

Malah, lebih menariknya Tania yang mendukung peranan Yana itu merupakan satu-satunya pelakon wanita dalam filem Abang Long Fadil 2 yang akan ditayangkan pada 24 Ogos nanti.

Berkongsi rasa gemuruh menantikan reaksi penonton untuk lakonan sulungnya dalam filem, adik kepada pelakon dan model Natasha Hudson itu juga berharap penonton akan menilai kualiti lakonannya dari sudut positif.

"Ini filem pertama saya dan diberikan karakter penting di samping teraju utama.

"Sudah dua tahun saya tidak berlakon dan apabila ditawarkan watak ini saya memang teruja," katanya.

Filem Abang Long Fadil 2 dibintangi oleh Zizan Razak, Achey, Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal, Wak Doyok dan Shuib.

Teks oleh: Amri Hassan