Minggu ini khas buat tatapan pembaca, Astro Gempak membawakan cerita pendek terbaru untuk segmen #GempakCerpen.

Bersempena cuti hujung minggu kali ini, kami paparkan cerpen genre thriller karya Hilmi Loma berjudul Perempuan Isteri dan …

Selamat membaca!

************

Sambil-sambil menunggu dengan menongkat dagu di meja makan, DIA melilaukan pandangan ke tangga rumah. Masih tiada bayang tapak kaki, masih sunyi dengan derapan-derapan yang selalu turun berlawan dengan masa pagi yang terlambat. DIA terus ke sinki, membasuh dua tiga cawan yang masih berbaki hampas kopi semalam.

“Morning, sayang. Dah breakfast?”

Ciuman lembut mendarat di pangkal lehernya, DIA membalas dengan senyuman tawar yang langsung tidak dilihat oleh lelaki sang pemberi ciuman yang terus duduk di meja makan sambil membelek muka tiga terakhir akhbar harian, bahagian sukan.

“Abang Rahim nak kopi macam mana?”

“Macam biasa lah, kan Abang tak ambil gula pagi-pagi? Nanti mengantuk, buat kerja pun payah…”

DIA menuangkan kopi panas ke dalam sebuah mug yang dilakarkan dengan lukisan doodle yang bersimpul-simpul membentuk imej wajah seekor kucing gemuk yang menjelirkan lidah.

“Selamat pagi semua…”

Seorang perempuan berkurung merah dan berselendang kuning cair menutupi jambul perang di kepala lambat-lambat masuk ke dapur sambil menjinjit beg biru kanvas IKEA yang dipenuhi dengan pelbagai macam alatan melukis.

“Pagi, sayang…”

Perempuan berkurung merah itu menghadiahkan ciuman lembut ke pipi lelaki yang sedang leka membaca halaman sukan. Dia lantas memandang ke arah DIA.

“Zaskia, Akak dengan Abang Rahim hari ni tak balik makan tengahari ya? Kami dah siap tempahan dekat luar. Awak boleh masak untuk awak seorang je nanti.”

Zaskia mengangguk perlahan sebelum bertanyakan sesuatu.

“Kak Lisa, Abang Rahim… bila kita boleh makan sama-sama?”

Suasana sunyi buat seketika, bunyi kayuhan basikal beroda empat milik anak jiran dua dari kiri kedengaran kuat melintasi bahagian laman luar rumah di dapur belakang.

“Akak bukan tak hendak, tapi Akak sibuk. Abang Rahim awak ni pun sibuk.”

“Tapi Kak Lisa…”

Lelaki itu bangun, dia mencicip sedikit kopi dari dalam mug dan terus mencium dahi Zaskia buat beberapa saat.

“Nanti kita rancang kemudian, okay? Abang dengan Kak Lisa nak cepat ni. Masak je apa ada dalam peti tu. Memang Abang beli untuk awak makan pun. Kami pergi dulu…”

Zaskia hanya memerhatikan kedua lelaki dan perempuan itu meluru keluar dari rumah seolah melarikan diri dari sesuatu yang tidak menyenangkan. Dia berjalan menghampiri cermin dinding di ruang tamu. Dia memerhatikan setiap inci tubuh, setiap helaian rambut, setiap pelipat yang bercantum. Semuanya sempurna.

“Kenapa Kak Lisa dengan Abang Rahim selalu je larikan diri bila aku nak dekatkan diri aku dengan diorang? Aku kan isteri kedua Abang Rahim yang sah? Kak Lisa juga yang masuk meminang aku…”

Dia memandang sesuatu di atas rak kaca yang baru sahaja dia keluarkan dari dalam kotak pagi tadi usai mengemas rumah.

“Seboleh mungkin aku tak nak buat benda ni…”

***

“Abang bila nak teruskan rancangan kita? Makin lama saya tengok Abang dengan dia, makin rengsek hati saya ni. Tak cukup abang nak berpeluk-cium bagai depan saya. Plan kita kan senang? Lepas je kahwin, dia sain kontrak tu, harta separuh dapat kat Abang kan? Abang nak tunggu apa lagi?”

Rahim yang sedang memandu terus melepaskan lelah kasar yang panjang sambil mengurut batang tengkuk yang dirasakan sengal.

“Bukan Abang tak hendak teruskan planning kita tu, awak ingat macam nak masak pulut? Tanak beras letak santan, siap? Macamtu?. Kena rancang elok-elok, jangan sampai orang luar atau pihak polis…”

“Saya peduli apa? Janji harta keturunan dia tu kita dapat. Tebal muka saya tahu masuk meminang dia bagi pihak Abang? Anak dara sunti pulak, yang memang ada hati dengan Abang lagi tu? Dasar betina kampung kepit kain batik, berangan nak ambil suami orang.”

Rahim tiba-tiba ketawa mengekek dan itu membuatkan Lisa yang duduk di kerusi penumpang sebelah berasa jelak.

“Abang dah kenapa ketawa beria sangat ni? Saya ada buat monolog Maharaja Lawak Mega ke?”

“Awak ni maki-maki dia, awak sedar tak yang hadap sangat nak harta dia tu sebenarnya awak bukan saya? Awak sedar?”

Lisa terdiam. Dia terus memandang ke luar tingkap kereta. Seorang budak lelaki gemuk sedang berlari laju mengejar penjual makanan ringan, dalam beberapa tapak sebelum menghampiri penjual makanan ringan tersebut, langkahnya sumbang dan dia jatuh tersembam ke tanah. Lisa menyimpulkan senyum.

“Abang…”

“Yer, saya.”

“Saya dah dapat idea macam mana nak teruskan rancangan kita tu.”

Rahim mengerutkan wajahnya. Mereka kini menghampiri pagar hadapan bangunan Sekolah Seni Kebangsaan.

“Saya dah lambat ni, tahu tak? Balik nanti awak cerita. Awak pergi masuk sekolah dulu.”

“Nanti dulu, dengar sini…”

Lisa memegang dagu suaminya dengan ibu jari yang ditahan dengan jari telunjuk tangan kanan.

“Abang goda dia malam ni. Dia dah lama mengidam dekat abang, percayalah. Tiga bulan kahwin abang tak sentuh dia langsung. Dia akan jadi macam budak gemuk yang gilakan jajan tepi jalan. Abang akan jadi umpan. Biar dia jatuh tersungkur dan masa tu saya yang akan habiskan semuanya.”

“Awak nak buat apa sebenarnya ni, Lisa?”

Lisa meleretkan senyuman penuh makna.

“Saya nak pancing ikan kita malam ni.”

***

Dua orang perempuan muda yang siap berpakaian French Maid sedia menunggu kedua Rahim dan Lisa pulang di pintu rumah. Senyuman manis diberikan, huluran salam bertukar tangan. Lisa dan Rahim keduanya memandang sesama sendiri. Pelik dengan keberadaan dua orang perempuan muda asing di rumah mereka.

“Tuan Rahim, Puan Lisa, jum kita masuk. Puan Zaskia dah lama menunggu di meja makan. Makan malam dah sedia terhidang.”

Kedua Rahim dan Lisa membuntuti mereka masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke meja makan di bahagian dapur kering. Lima batang lilin aromaterapi yang merembeskan aroma campuran Goji & Tarocco Orange memenuhi ruang makan. Lisa dan Rahim memutuskan untuk duduk secara berhadapan sementara menunggu Zaskia. Pada saat mereka berdua melabuhkan punggung masing-masing di atas kerusi kayu, dua bilah parang panjang telah tersemat di batang leher masing-masing. Keduanya menelan liur. Dua orang perempuan muda yang berpakaian French Maid berdiri tegak di belakang mereka sambil tidak langsung mengendurkan genggaman parang panjang yang disematkan ke leher.

Zaskia melangkah keluar dari dapur kering sambil membawa dua pinggan kaca kosong, terus diletakkan di atas meja makan berhadapan dengan Lisa dan Rahim. Dia kemudian mengambil satu punat kecil lantas menekan punat itu sebelum satu rakaman suara berkumandang memecah sunyi di meja makan.

“Abang bila nak teruskan rancangan kita? Makin lama saya tengok Abang dengan dia, makin rengsek hati saya ni. Tak cukup abang nak berpeluk-cium bagai depan saya. Plan kita kan senang? Lepas je kahwin, dia sain kontrak tu, harta separuh dapat kat Abang kan? Abang nak tunggu apa lagi?”

Lisa mula mengalirkan air mata. Gejolak emosi takut dan menyesal saling bertingkah ketika ini, berperang di antara satu sama lain. Rahim hanya menunduk dan membisu. Tidak mampu untuk berbuat apa sementelah parang panjang masih melekat kemas di leher. Zaskia berpeluk tubuh dalam beberapa saat sebelum bersuara.

“Sampai hati Abang Rahim dengan Kak Lisa buat saya macam ni? Kalau betul nak harta saya, kenapa tak minta je? Saya boleh bagi, kalau betul abang dengan akak ada masalah kewangan sekalipun, kenapa tak rujuk pada saya? Kenapa sampai nak rancang bukan-bukan? Harta peninggalan arwah ayah tu sampai keturunan ke-12 takkan habis kita bertiga ratah. Sampai hati abang, sampai hati akak…”

Lisa menangis semahunya. Dia malu dengan sifat tamak yang sekian lama memeluk diri sendiri, dia malu dengan sifat pentingkan diri yang membawa kepada kecelakaan orang lain. Rahim seperti tadi, masih membisu tetapi tubuh lelaki itu kelihatan menggigil.

“Zaskia, maafkan akak! Akak, akak bersalah… akak minta maaf! Jangan apa-apa kan kami, Zaskia… tolong jangan laporkan pada…”

“Laporkan? Nak laporkan apa? Tak ada sesiapa yang nak mati pun malam ni Kak Lisa, Abang Rahim… memang tak salah lagi tindakan saya pasang perakam suara dalam kereta Abang Rahim, kalau tak sampai bila saya tak tahu apa salah saya dalam rumahtangga kita bertiga.”

Zaskia mengambil pisau belati dari dalam laci kabinet berdekatan dan terus menikam dadanya sendiri. Darah menyeruak keluar membasahi lantai dapur, gaun tidur yang dipakai lencun dengan kepekatan merah gelap hanyir yang memualkan. Zaskia hanya tersenyum. Pisau belati yang tertanam di dada kanan kemudian terus ditarah ke bawah. Perbuatan itu diteruskan sehingga membentuk kesan tarahan empat segi di dada Zaskia. Perlahan-lahan dia mengoyak isi dadanya yang hampir terkoyak dan mencabut keluar segumpal daging yang masih berdegup. Gumpalan daging yang masih berdegup itu dia letakkan ke atas pinggan kaca kosong di hadapan Lisa yang masih melongo. Kain yang dipakai Lisa kini lecak dengan cairan lain. Rahim yang menyaksikan segalanya kehilangan kata-kata. Zaskia masih tersenyum.

“Kak Lisa ambil jantung saya, dan jaga elok-elok. Jangan bagi jantung saya terluka lagi. Segala harta pusaka arwah ayah saya, akan saya serahkan secara total kepada Kak Lisa nanti. Satu lagi…”

Dengan bahagian tubuh yang hampir rompong dan masih mengalirkan darah, Zaskia terus memeluk tubuh Rahim yang kaku di atas kerusi. Dia mengelus perlahan rambut Rahim yang kerinting itu, dia mencium lembut ubun-ubun rahim sebelum meninggalkan kesan gincu merah di pipi kanan suaminya. Dia berpusing sambil tidak langsung melepaskan rangkulan eratnya ke tubuh Rahim lalu mengatakan sesuatu kepada Lisa yang masih melongo.

“Satu lagi syaratnya, Abang Rahim adalah milik mutlak saya, suami saya di dunia dan juga di alam sana…”

“Get away it’s my time to shine, and if you didn’t know the boy is mine. You need to give it up, had about enough, it’s not hard to see… the boy is mine.”
*The Boy is Mine – Monica & Brandy*