Bekas pengacara hLive! Shenthy Feliziana akui memegang watak sebagai Fara menerusi drama mini bersiri Do[s]a sememangnya mencabar.

Kata Shenthy, dia tidak menyangka babak aksi yang melibatkan dirinya begitu banyak berbanding pelakon lain.

"Pada mulanya saya ingat babak 'fighting' itu hanyalah sekadar biasa sahaja seperti menyepak dan bertumbuk.

"Rupa-rupanya babak pergaduhan yang melibatkan Fara lebih banyak daripada apa yang saya sangkakan.

"Sebagai persiapan, saya memang diberikan latihan selama tiga minggu di Malaysia sebelum memasuki set penggambaran.

"Kemudian sewaktu di Jakarta pun ada juga latihan dan itu pun saya masih rasa belum mencukupi.

"Sebelum ini ada juga saya berjinak-jinak dengan Muay Thai tapi bukan secara kerap.

"Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan rasanya disebabkan sebelum ini saya mempunyai latar belakang sebagai seorang 'dancer', jadi perkara itu banyak membantu dari segi koreografi," katanya kepada Astro Gempak.

Shenthy ditemui Astro Gempak selepas sidang media drama mini bersiri berjudul Do[s]a, di Jakarta, Indonesia pada Sabtu

Mengulas mengenai wataknya, Shenthy berkata dia seakan bermimpi apabila mendapat tawaran untuk berlakon dalam drama tersebut.

"Rasa macam mimpi dapat jadi Fara kerana watak ini begitu mencabar mental dan fizikal.

"Ketika menghadiri ujibakat untuk Do[s]a, dalam hati saya hanya pasrah, dapat atau tidak saya tak kisah janji dah cuba.

"Alhamdulillah, inilah yang dikatakan rezeki dan saya berjaya. Pada mulanya saya ingatkan Fara ini hanyalah sekadar watak pembantu.

"Tapi bila dah masuk set baru saya tahu yang Fara ini adalah peranan besar dalam drama ini.

"Terima kasih kepada pihak produksi kerana beri kepercayaan kepada saya untuk menggalas watak ini," ujarnya.

Selain Shenthy, pelakon yang turut membintangi drama mini siri Do[s]a ialah Datuk M.Nasir, Remy Ishak, Ashraf Sinclair, Hisyam Hamid, Reuben Elishama, dan ramai lagi.

Do[s]a diarahkan pemenang Anugerah Pengarah Terbaik Citra Award, Indonesia, Ifa Isfansyah dan bakal menemui penonton Disember depan.

Teks oleh: Mya Amri