Pelakon dan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz, 26, menyelar tindakan individu yang tidak bertanggungjawab menggodam akaun Twitternya dan mengeksploitasi pihak yang tidak berkaitan.

Ujarnya, akaun media sosialnya itu telah digodam sejak beberapa bulan lalu dan meminta agar pihak yang terbabit menyerahkan semula akaun Twitternya serta menghentikan perbuatan yang tidak elok.

"Saya ada dimaklumkan tentang penyebaran nombor telefon palsu yang didakwa milik saya di Twitter saya.

"Namun, akaun itu telah digodam dan saya percaya tujuannya bertindak sedemikian demi menjatuhkan saya susulan kemelut rumah tangga saya yang sedang berlaku sekarang," katanya.

Terdahulu, seorang ahli perniagaan, Mohd Faris Mohd Ali telah menerima lebih 7,000 mesej di aplikasi WhatsApp, 400 panggilan telefon dan lebih 100 khidmat pesanan ringkas (SMS) yang memaki hamun, menghina dan mencabarnya untuk bergaduh.

Nombor telefon miliknya telah disalah gunakan oleh individu tidak bertanggungjawab dengan memuat naik di akaun Twitter milik Aliff Aziz.

Dalam perkembangan sama, Aliff memberitahu dia kini sedang berusaha dengan pihak tertentu untuk mendapatkan kembali akaun Twitter miliknya.

Kelmarin, Aliff telah mengadakan sidang media khas untuk menjelaskan kontroversi yang melanda rumah tangganya dan meminta maaf kepada isterinya, Bella Astillah, 23.

Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: EH!