Wah! Nampaknya drama bersiri Dendam Aurora yang diadaptasi daripada telenovela popular Itali, ‘Tre Rose Di Eva’ sedang menjadi fenomena!

Mana tidaknya, lakonan hebat para pelakon seperti Nabila Huda, Ungku Ismail, Shah Iskandar, Anzalna Nasir, Tony Eusof, Datuk Eizlan Yusof dan yang lain-lain turut menarik perhatian pelakon asalnya, Anna Safroncik.

Anna menerusi entrinya di Instagram pada petang Khamis telah memuat naik foto sedutan drama Dendam Aurora dengan menulis kapyen dalam bahasa Itali bermaksud;

Dear friends it is amazing! We knew that ‘Tre Rose Di Eva’ were sold and seen in many countries around the world, but what's incredible now that REMAKE has also been made in Malaysia!

Menariknya, Anna telah memuat naik semula posting tersebut daripada pelakon Anzalna Nasir yang membawa watak Putri Adrina Engku Azhar dalam Dendam Aurora.

‘Tre Rose Di Eva’ merupakan siri popular tiga musim terbitan Mediaset Distribution yang mendapat sambutan hangat di Itali sekitar tahun 2012 yang turut dibintangi bintang popular Luca Ward dan Roberto Farnesi.

Drama bersiri 100 episod yang diarahkan oleh sutradara Feroz Kader dan Riza Baharudin bersiaran menerusi slot Tiara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 25 Julai lalu secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Dendam Aurora turut boleh diakses menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’ untuk pilihan yang fleksibel.