Vokalis kumpulan May, Mus atau nama Mustaffa Din dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur akibat demam panas sejak tiga hari lalu.

Berita mengenai Mus dikongsi pegawai perhubungan awam, Ayob Abd Majid di laman Facebooknya.

Ayob ketika dihubungi Astro Gempak memberitahu keadaan Mus kini stabil dan telah dipindahkan daripada zon kritikal ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dalam pada itu Ayob turut meminta orang ramai mendoakan kesihatan Mus agar kembali seperti sedia kala.



Sementara itu pada ruangan komen, sahabat-sahabat yang mengenali Mus turut mengharapkan vokalis tersebut pulih seperti sedia kala.

Dalam pada itu, isterinya dikenali sebagai Sue memberitahu, keadaan Mus bertambah teruk pada petang Isnin.

"Abang Mus mengalami demam panas sejak tiga hari lalu dan hari ini (Isnin) keadaannya bertambah lemah sebelum saya menelefon ambulans untuk membawanya ke hospital," ujarnya.



Ditanya punca Mus mengalami sakit, Sue memberitahu suaminya berada dalam keadaan baik sebelum ini namun dia mungkin keletihan.

"Buat masa ini susah saya hendak cakap tentang keadaan sebenar dan harapnya tiada yang serius," jelasnya yang mengharap doa semua pihak terhadap Mus