Penyanyi malar hijau, Datuk Khadijah Ibrahim akui idam sebuah konsert mega sempena 40 tahun kariernya dalam industri muzik.

Khadijah Ibrahim, 57, berkata ia memerlukan perancangan yang teliti untuk merelisasikan konsertnya yang dijangka bakal diadakan pada September tahun hadapan.

"Kalau cakap pasal bidang nyanyian ini saya boleh kata saya sudah capai semuanya yang saya mahu dalam karier ini.

"Cuma apa yang saya mahu sekarang adalah sebuah konsert mega sempena karier saya yang ke 40 tahun nanti.

"Konsert ini akan memberi makna yang besar buat saya, jadi saya mahu ia dirancang dengan teliti supaya konsert itu nanti bakal menjadi memori yang tidak boleh dilupakan saya dan juga penonton.

"Saya harap konsert saya itu dapat direalisasikan pada September tahun hadapan kerana saya dapati ia merupakan tarikh yang sesuai untuk saya," katanya kepada Astro Gempak.

Penyanyi lagu Doa Buat Kekasih itu memberitahu dia berharap konsertnya itu nanti dapat menarik minat anak muda masa kini selain golongan korporat.

"Saya berasa amat gembira jika konsert saya nanti ditonton oleh golongan muda terutama yang menceburi bidang muzik ini.

"Saya mahu berkongsi dengan mereka apa pengalaman yang saya ada untuk mereka jadikan rujukan.

"Namun bagaimanapun saya pasti golongan korporat memang tidak melepaskan peluang untuk menonton persembahan saya," katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal