Pelakon dan pengarah, Erma Fatima akui lega apabila telefilem kontroversi arahannya, Pesan Dari Tuhan dapat ditayangkan selepas dua tahun diperam.

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 49, dia terbuka hati dan membuang ego kerana mahu telemovie ini tetap dapat ditayangkan selepas terbaca posting yang dimuat naik oleh pelakon Azhan Rani di Instagram.

"Saya sebenarnya tidak mahu menayangkan drama ini kerana dua tahun lalu sebuah stesen tv telah membatalkan penyiaran telefilem ini kerana didakwa mengandungi unsur-unsur sensitif didalamnya.

"Akibat kecewa dengan perkara itu saya telah mengambil keputuan untuk menyimpan naskah ini sebagai koleksi peribadi dan tidak berusaha untuk ianya ditayangkan di stesen TV lain.

"Bagaimanapun, selepas membaca 'posting' yang dimuat naik oleh pelakon, Azhan Rani, mengenai drama ini membuatkan hati saya tersentuh dan saya terus terfikir, bahwa selama ini saya terlalu ego serta pentingkan diri sendiri.

"Saya kemudiannya terus mencuba nasib dengan mengundang Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, untuk menontonnya, sekali gus meminta pandangan dia mengenai drama ini.

"Apa yang memeranjatkan adalah dia bersetuju untuk menayangkannya di stesen RTM dan berpendapat bahawa drama ini tidak menyentuh sentiviti masyarakat di Malaysia," katanya kepada Astro Gempak.

Erma berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra tonton telemovie Pesan Dari Tuhan, di Kafe Skrin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Telemovie Pesan Dari Tuhan akan ditayangkan pada 26 Jun ini menerusi saluran TV2 pada pukul dua petang.

Pesan Dari Tuhan menampilkan ramai pelakon seperti Ellie Suriati, Azhan Rani, Remy Ishak dan Izreen Azminda.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi