Penyanyi Siti Nordiana bakal mengeluarkan single duet bersama penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor.

Lagu berjudul Nisan Cinta yang dicipta oleh Hael Husaini, Ezra Kong dan Mike Chan ini bakal menjadi lagu tema bagi drama bersiri terbaru yang bakal bersiaran di Astro Prima, Dendam Aurora.

"Pihak produksi drama Dendam Aurora, Global Station mahukan saya dan Jaclyn bergabung vokal dalam lagu ini.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berpeluang untuk berduet dengan Jaclyn yang sememangnya terkenal dengan vokal yang mantap.

"Proses rakaman lagu ini sudah pun selesai dan semuanya berjalan lancar. Insya-Allah, lagu ini bakal dilancarkan tidak lama lagi," kata wanita yang mesra dengan panggilan Nana ini.

Tambah Nana, dia agak gelisah apabila mendapat tahu yang dia bakal digandingkan bersama Jaclyn.

"Semua orang tahu Jaclyn merupakan seoramg penyanyi hebat dan mempunyai vokal berkualiti. Saya gementar dan terfikir adakah vokal saya boleh menjadi sehebat vokal Jaclyn dalam lagu ini?

"Setelah mendengar hasil akhir, segala kerisauan saya sebelum ini hilang dan saya berharap agar lagu ini dapat diterima oleh semua peminat," katanya lagi.

Dalam pada itu, Nana bakal bercuti pada minggu pertama sambutan Syawal dan meraikan suasana Lebaran di kampung halamannya yang terletak di Sendayan, Negeri Sembilan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal