Bekas anggota Running Man, Kang Gary geram dengan komen biadap netizen yang mendakwa dirinya kembali aktif di Instagram (IG) kerana mempunyai masalah kewangan.

Menurut laporan Allkpop, komen yang berbunyi “Kamu sebenarnya aktif kembali di laman sosial kerana tidak mempunyai wang bukan?” telah menarik perhatian penyanyi rap itu.

Bagaimanapun Gary atau nama sebenarnya Kang Hee Gun telah membidas dakwaan tersebut dengan kata-kata berbaur sinis.

“Penting sangat ke duit tu dalam hidup awak... Pergilah melancong dan lakukan perkara-perkara menarik sekiranya ada masa,” balasnya.

Dalam pada itu, ribuan pengikut IGnya bersetuju dengan kata-kata Gary dan meminta supaya netizen tidak lagi menganggu dan mencampuri urusan Gary.

Mereka juga memberi cadangan untuk membuat laporan mengenai komen-komen biadap yang ditujukan kepada penyanyi rap kesayangan mereka.

Terdahulu, Gary telah mengemaskini akaun IGnya buat pertama kalinya kelmarin selepas membuat keputusan untuk memadamkan kesemua fotonya pada 1 Mei lalu.