Empat orang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang kerana dituduh membunuh T Nhaveen, 18.

Dua remaja yang berusia 18 tahun, J Ragesuthen dan S Gokulan bersama dua orang remaja bawah umur didakwa menyebabkan kematian mangsa pada 9 Kun lalu di Bukit Gelugor, Pulau Pinang antara jam 11.00 hingga 12.00 tengah malam.

Ketika pertuduhan dibacakan terhadap empat remaja itu dihadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret kemudian menetapkan 28 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin.

Dalam kejadian tersebut, Nhaveen bersama seorang lagi rakannya, T Previin, 19, dilapor dipukul oleh sekumpulan lelaki dengan menggunakan topi keledar serta ditumbuk dan ditendang hingga parah.

Selain mengalami kecederaan parah sehingga disahkan mati otak, Nhaveen turut mengalami kecederaan di bahagian dubur manakala Pareviin mengalami kecederaan di bahagian muka.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan keluar untuk membeli burger berdekatan kawasan rumah, sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang memukul mereka menggunakan topi keledar.

Selepas enam hari berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang, Nhaveen meninggal dunia di sisi ahli keluarga.

Sumber: Harian Metro
Foto: BH Online