Pengarah Mamat Khalid dikatakan telah menyindir orang yang gemar ponteng puasa di dalam supertelemovie terbaharunya, 16 Puasa.

Menerusi satu diskusi pembaca berita Awani bersama editor media sosial Awani berpendapat 16 Puasa ada mempunyai unsur sindiran terhadap golongan yang suka ponteng puasa.

Astro Awani kemudian menghubungi Mamat untuk mendapatkan ulasan lanjut mengenai supertelemovie tersebut.

Mamat bagaimana pun, menafikannya dan memberitahu jalan cerita tersebut dicipta untuk memberi kesedaran kepada umat Islam yang mencari alasan untuk tidak berpuasa di bulan Ramadan.

"Apa yang saya mahu ketengahkan bukan sindirian tetapi lebih kepada realiti kehidupan kita sekarang yang mana ada berlaku dikalangan orang kita.

"Situasi yang saya mahu tonjolkan di dalam supertelemovie ini hanya untuk menyedarkan golongan yang suka ponteng puasa," katanya.

16 Puasa yang sudah ditayangkan bermula 8 Jun di Astro First (saluran 480) itu mengisahkan sekumpulan kawan baik di sebuah kampung yang ponteng puasa.

Menariknya, sejak ia ditayangkan supertelemovie bergenre komedi itu telah mendapat sambutan hangat sehingga ia telah dilanggan oleh 14 657 pelanggan Astro.

16 Puasa dibintangi oleh pelakon-pelakon seperti Sabri Yunus, Bell Ngasri, Aziz M Osman dan Jue Aziz.

Ia mengisahkan kisah sekumpulan kawan baik di sebuah kampung yang ponteng puasa.

Sekumpulan kawan baik itu menyembunyikan aktiviti mereka daripada pengetahuan isteri masing-masing. Mereka juga menetapkan jadual siapa yang akan membeli makanan di pekan dan kemudian makan di tempat-tempat terlindung.

Ingin tahu kesudahan 16 Puasa? Saksikannya di Astro First saluran 480.