Seringkali kita melihat kebanyakan jenama pakaian di Malaysia menggunakan model yang sempurna sifat, sama ada wajah tempatan mahupun dari luar negara.

Namun, berbeza pula bagi jenama Maqilla yang tampil dengan idea tersendiri untuk menggunakan model yang terdiri dalam kalangan pesakit Sindrom Down.

Kempen itu merupakan sebuah kolaborasi bersama Persatuan Sindrom Down Malaysia dan sebahagian daripada setiap pembelian akan disalurkan kepada persatuan tersebut.

"Di bulan Ramadhan ini, Maqilla Boutique berbesar hati melalui kerjasama dengan Persatuan Sindrom Down Malaysia untuk berbakti kepada golongan istimewa ini.

"Setiap pembelian produk, RM10 akan disalurkan kepada persatuan ini," maklum jenama pakaian itu.

Dua model istimewa yang terbabit untuk kempen raya jenama itu ialah Khoh Hui Qi dan Siti Marina Frohlich.

Kempen jenama pakaian yang menggunakan model luar kotak seperti penghidap Sindrom Down bukan perkara baru dalam industri fesyen antarabangsa.

Jenama pakaian kanak-kanak OshKosh B'gosh pernah menggunakan model kanak-kanak berusia 15 bulan, Asher Nash yang mengalami masalah Sindrom Down.

Jamie Brewer juga pernah menjadi model 'catwalk' ketika Minggu Fesyen New York dua tahun lalu.

Selepas gambar-gambar fotografi kempen raya Maqilla dimuat naik, ia mula tular apabila dikongsikan oleh pengguna Twitter @AinulNunanaa.


Koleksi gambar itu telah mendapat lebih 16,000 ulang kicau (retweet) dan 8,000 like.

"Walaupun mereka berbeza namun nampak luar biasa dengan cara tersendiri. Saya sangat sukakan konsep ini," puji @AinulNunanaa.

"Comelnya mereka bergaya. Macam patung," kata @atiqamiraaris.

"Muka mereka unik apabila disolek sebegini, seperti model antarabangsa! Tiadalah asyik muka barbie doll saja," kata @araasyd.

"Akhirnya! bukan model dari instafamous yang semuanya muka serupa. Sangat unik," tulis @farrajane.

"Baju itu seratus kali nampak lebih menarik," kata @_MuhdHariz.





BTS: Disebalik tabir menjayakan koleksi raya Maqilla bersama dua model istimewa adik Khoh Hui Qi dan Siti Marina Frohlich ❤️ ㅤㅤ #MaqillaBoutique #MaqillaRaya #RayaCollection #BajuRaya #Raya2017

A post shared by Maqilla Boutique (@maqilla_official) on



Teks oleh: Amri Hassan