Penyanyi Ariana Grande mengumumkan akan kembali ke Manchester, United Kingdom (UK) untuk menjayakan konsert amal membantu mangsa serangan bom Manchester.

Menurut Ariana, 24, konsert itu diadakan untuk mengenang mangsa-mangsa tragedi selain mengumpul wang sumbangan untuk mangsa tercedera dan juga kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban.

Perkara tersebut diumumkan menerusi laman sosialnya. Tulisnya; "Saya ingin menyatakan penghargaan terima kasih kepada setiap rakan artis yang menunjukkan minat untuk menyertai konsert itu. Saya akan kongsikan maklumat lanjut berkaitan konsert itu dalam masa terdekat ini.”

Dalam nota itu juga, Ariana memuji peminatnya yang digelar ‘Arianators’ kerana sama-sama memberikan kata-kata positif terhadap satu sama lain di media sosial masing-masing.

“Kasih sayang, kekuatan dan kesatuan yang anda semua tunjukkan adalah sesuatu yang sangat bagus, berlawanan sekali dengan apa yang jadi pada malam Isnin lalu,” tulisnya.

Dalam serangan bom itu, 22 mangsa maut manakala lebih 60 orang cedera. Serangan yang didalangi Salman Abedi itu dilakukan di pintu masuk Manchester Arena sebaik berakhirnya konsert Ariana pada malam Isnin lalu (22 Mei).

Sementara itu, Ariana tidak memaklumkan bila dia bakal kembali dengan konsert jelajah Dangerous Woman yang telah dibatalkan pihak pengurusannya sebaik serangan berlaku.

A post shared by Ariana Grande (@arianagrande) on


Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Telegraph