Konsert ’I Seoul U’ yang telah berlangsung dengan meriahnya semalam menyaksikan persembahan hebat daripada Red Velvet, NCT 127, Yesung, Altimet, dan The Fam.

Konsert tersebut telah berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan terdapat pelbagai perkara menarik berlaku sebelum dan sepanjang konsert itu berlangsung.

Berikut kami kongsikan perkara menarik sepanjang konsert ’I Seoul U’ semalam (Selasa):

1. De Fam dan Altimet Membuat Persembahan Pembukaan

Penyanyi dan kumpulan popular dari Malaysia telah diberi penghargaan untuk membuat persembahan pembukaan ketika konsert tersebut. Mewakili Malaysia, De Fam dan Altimet telah mempersembahkan dua buah lagu popular masing-masing seperti Supergirls dan Amboi. Persembahan bertenaga mereka telah mendapat sorakan hebat daripada peminat yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

2. Peminat Mula Beratur Sejak Jam 12 Tengah Hari

Walaupun konsert tersebut dijadulakan akan bermula pada jam 7 malam, tetapi rata-rata peminat Kpop yang teruja dan tidak sabar untuk bertemu artis kegemaran mereka telah berkumpul tujuh jam lebih awal daripada masa yang dijadualkan. Peminat sudah mula beratur dan membanjiri kawasan luar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) seawal jam 12 tengah hari.

3. DYMM Sultanah Pahang Berkenan Mencemar Duli Menonton Persembahan

Pada malam tersebut, DYMM Sultanah Pahang Darul Makmur, Sultanah Hajah Kalsom Binti Abdullah telah berkenan mencemar duli untuk hadir bagi menonton dan merasmikan acara tersebut. Baginda Sultanah Kalsom juga telah tiba di dalam dewan tepat jam 7 malam dan berangkat pulang sejurus tamat persembahan terakhir daripada Yesung.

4. Penonton Menjadi Tidak Terkawal Sejurus Red Velvet Muncul

Penonton yang mula masuk ke dalam dewan sejak 6 petang telah menjadi tidak terkawal sebaik sahaja melihat kemunculan Red Velvet di atas pentas. Mereka mula menjerit dengan kuat selain turut menyalakan ’light stick’ sebagai tanda sokongan penuh kepada penyanyi itu. Sepanjang Red Velvet membuat persembahan, peminat turut menyanyi bersama sehingga lagu terakhir yang dipersembahkan mereka.

Teks oleh : Izzat Ridzwan