Pelakon Hero Seorang Cinderella, Fazura mengakui tidak pernah menganggap dirinya popular.

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 33, berkata, meskipun sudah lama dalam industri hiburan namun masih mempunyai banyak kekurangan pada dirinya.

"Sejujurnya saya tidak pernah meletakkan diri saya sebagai seorang selebriti popular.

"Saya mengakui masih banyak kekurangan dan perkara yang perlu saya pelajari untuk memperbaiki kelemahan diri dalam bidang lakonan dan nyanyian.

"Saya juga merupakan seorang artis yang sendu-sendu saja kerana selepas selesai kerja saya akan habiskan banyak masa di rumah.

"Apa yang penting saya akan melakukan yang terbaik dalam apa jua perkara yang dilakukan dan bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berlakon," katanya kepada Astro Gempak.

Fazura ditemui pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian, di Pusat Konvensyen Putrajaya, baru-baru ini.

Tambah Fazura, dia kini masih sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Hero Seorang Cinderalla di bawah arahan pengarah Michael Ang.

Drama bersiri Hero Seorang Cinderalla adaptasi novel karya Anjell, akan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123) setiap Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam.

Selain Fazura, pelakon lain yang turut membintangi drama bersiri ini ialah Fattah Amin, Uqasha Senrose, Zizie Ezette dan Jasmine Suraya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi